KUALA LUMPUR 4 Ogos - Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) diyakini akan terus mencatat pertumbuhan kukuh dalam prestasi kewangannya bagi tahun kewangan 2025 (FY25) dan seterusnya, didorong oleh peluasan portfolio hartanah yang agresif dan hasil penjualan aset strategik, menurut beberapa penganalisis.
Sepanjang tahun lalu, Axis-REIT telah memperoleh lapan hartanah bernilai RM719 juta, selain menambah 509,000 kaki persegi kawasan boleh disewa bersih (NLA) menerusi pengembangan fasa kedua Pusat Pengedaran Mega Axis di Selangor.
Penganalisis berkata, langkah tersebut menyumbang kepada lonjakan keuntungan sebanyak 27% kepada RM102.9 juta bagi separuh pertama FY25 (1H25).
Bagi suku kedua FY25 (2Q25) sahaja, Axis-REIT melaporkan hasil sebanyak RM90 juta dan keuntungan bersih teras sebanyak RM52 juta.
Dalam masa sama, pemegang unit Axis-REIT bakal menerima dividen khas sebanyak 0.43 sen seunit, susulan penjualan pembangunan pejabat The Annex di Petaling Jaya pada April lalu pada harga RM24.2 juta, yang menjana keuntungan bersih RM8.8 juta.
Penganalisis menjangkakan dividen khas itu akan diagihkan secara berperingkat dari 2Q25 hingga 4Q25.
Firma penyelidikan, CGS International Research (CGSI) mengekalkan saranan "add" ke atas Axis-REIT dengan harga sasaran lebih tinggi, iaitu RM2.28 seunit.
UOB Kay Hian Research pula lebih optimistik dengan saranan "buy", serta menetapkan harga sasaran RM2.09 seunit.
Penganalisis menjangka momentum positif ini akan berterusan berikutan kadar penghunian stabil, pertumbuhan aset secara strategik dan pendekatan aktif Axis-REIT dalam mengoptimumkan nilai pemegang unit. - DagangNews.com








