KUALA LUMPUR 31 Dis – Axis Real Estate Investment Trust melalui pengurusannya, Axis REIT Managers Berhad (ARMB) mengumumkan cadangan pengambilalihan sebuah hartanah di Kawasan Perindustrian Senai Fasa 3, Johor daripada Banyan Estate Malaysia Sdn Bhd (BEMSB).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Axis REIT berkata cadangan pengambilalihan itu melibatkan pembelian sebuah kilang dua Tingkat, bangunan pejabat dua tingkat dan bangunan tambahan lain yang dibina di atas tanah perindustrian pajakan di Mukim Senai, Daerah Kulai, Johor.
“Nilai keseluruhan hartanah yang akan diperoleh adalah RM34.6 juta secara tunai, bebas daripada sebarang sekatan tetapi tertakluk kepada terma-terma perjanjian jual beli (SPA) yang dimeterai pada 31 Disember 2025.
“Hartanah berkenaan akan dibangunkan mengikut spesifikasi yang dipersetujui melalui perjanjian membina dan menyewa (ATBL) antara RHB Trustees Berhad sebagai pemegang amanah bagi pihak Axis-REIT, BEMSB sebagai penjual dan penyewa FCI Connectors Malaysia Sdn Bhd,” kata Axis REIT dalam makluman tersebut.
FCI Connectors akan menyewa hartanah itu untuk tempoh lima tahun dengan opsyen lanjutan lima tahun, pada sewa bulanan permulaan RM207,653.40, tertakluk kepada pengukuran akhir keluasan sewaan.
Tempoh pajakan tanah adalah 60 tahun sehingga 2 Disember 2069, dengan keluasan tanah kira-kira 0.8094 hektar dan keluasan binaan kasar sekitar 115,363 kaki persegi.
Pembiayaan pengambilalihan ini akan dibiayai melalui kemudahan kredit sedia ada Axis-REIT, dengan nisbah pembiayaan dijangka meningkat kepada 33.72 peratus daripada jumlah aset, masih di bawah had 50 peratus yang ditetapkan oleh Garis Panduan REIT Berhad.
Menurut ARMB, cadangan pengambilalihan hartanah ini sejajar dengan objektif pelaburan Axis-REIT dan strategi pertumbuhannya untuk menyediakan pendapatan stabil kepada pemegang unit serta meningkatkan nilai aset bersih per unit (NAV) Axis-REIT.
“Hartanah ini dijangka menyumbang kepada pendapatan boleh agih dan menambah portfolio hartanah yang memberi manfaat jangka panjang kepada Dana.
“Pengambilalihan dijangka diselesaikan pada suku keempat 2027, tertakluk kepada syarat termasuk pembinaan dan siapnya bangunan, pemeriksaan bersama hartanah, penyerahan pemilikan kosong dan kelulusan pemindahan tanah oleh pihak berkuasa negeri,” katanya.
ARMB menegaskan tiada pengarah, pemegang saham utama pengurus atau pemegang unit utama Axis-REIT mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam cadangan pengambilalihan hartanah ini.
Peratusan nisbah bagi cadangan pengambilalihan ini ialah 0.66 peratus, di bawah ambang 5 peratus, dan pengumuman dibuat secara sukarela mengikut keperluan pasaran utama Bursa Malaysia. - DagangNews.com








