Axiata keluar dari pasaran Myanmar, jual keseluruhan kepentingan berharga RM713 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axiata keluar dari pasaran Myanmar, jual keseluruhan kepentingan berharga RM713 juta

KUALA LUMPUR 4 April - Axiata Group Bhd menerusi Edotco Group Sdn Bhd akan menjual keseluruhan 87.5% kepentingannya dalam operasi kumpulan di Myanmar pada harga RM713 juta (AS$150 juta).

 

Edotco Group, melalui anak syarikatnya Edotco Investments (Labuan) Ltd telah memeterai perjanjian pembelian saham untuk melepaskan pegangan dalam Edotco Investments Singapore Pte Ltd, sebuah syarikat pegangan pelaburan tujuan khas untuk pelaburan syarikat itu di Myanmar dan pemegang saham tunggal Edotco Myanmar Ltd.

 

Ia berikutan pengumuman awal Axiata mengenai cadangan untuk keluar dari Myanmar yang diterbitkan dalam keputusan suku tahunan bagi suku berakhir 31 Disember 2023 yang dikeluarkan pada 22 Februari 2024.

 

“Keputusan untuk keluar dari Myanmar dibuat berikutan kemerosotan makroekonomi dan persekitaran operasi di Myanmar.

 

"Modal daripada pelupusan itu, sejajar dengan komitmen Axiata bagi mengekalkan kunci kira-kira yang kukuh dan meningkatkan nilai pemegang saham, akan digunakan semula untuk mengurangkan hutang," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Firma telekomunikasi itu berkata, cadangan pelupusan itu dijangka selesai dalam tempoh 12 bulan dari tarikh perjanjian dan tidak dijangka mempunyai sebarang kesan material ke atas aset bersih disatukan, aset bersih sesaham, penggearan dan pendapatan disatukan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Syarikat itu juga berkata, selepas mengambil kira pelbagai aspek, lembaga pengarah berpendapat penjualan terbabit adalah demi kepentingan Axiata.

 

"Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan Axiata yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam urus niaga berkenaan," katanya.- DagangNews.com