KUALA LUMPUR 10 April — Axiata Group Berhad dilaporkan mencari penasihat kewangan untuk membantu penjualan Edotco Group Sdn Bhd yang dimilikinya pada kira-kira AS$3 bilion (RM13.4 bilion) termasuk hutang, menurut sumber rapat syarikat itu.
Operator telekomunikasi tersebut dan firma dana pelaburan kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional Berhad turut dilaporkan sumber berkenaan telah meminta bank-bank pelaburan mengemukakan cadangan untuk mengusahakan potensi penjualan Edotco.
Sebelum itu pada Disember 2024, anak syarikat kepada firma pengurusan aset, Macquarie Group Ltd telah mengemukakan permohonan bidaan mereka untuk proses pembelian Edotco dan Axiata dilaporkan sedang menilai perkembangan tersebut.
Bagaimanapun wakil Axiata, Khazanah dan Macquarie setakat ini enggan memberikan sebarang ulasan manakala jurucakap Edotco pula berkata bahawa syarikat berkenaan tidak pernah terlibat dalam perbincangan berkaitan isu pemegang saham.
Edotco yang beribu pejabat di Kuala Lumpur merupakan antara syarikat menara telekomunikasi terbesar di dunia, dengan menguruskan lebih 55,000 struktur itu termasuk di Malaysia, Indonesia, Myanmar, Kemboja, Bangladesh, Pakistan dan Filipina.
Khazanah terdahulu dilaporkan bersetuju untuk membeli Innovation Network Corp dari Jepun yang dipegang oleh Edotco pada Mac 2025, dengan meningkatkan pegangannya kepada sebanyak 32 peratus.
Axiata memiliki sejumlah 63 peratus kepentingan dalam Edotco manakala selebihnya pula dipegang oleh sebuah badan dana pencen Malaysia. - DagangNews.com








