KUALA LUMPUR 10 April - Syarikat kejuruteraan AWC Berhad, menandatangani perjanjian konsesi selama 10 tahun bernilai RM18.4 juta bagi membina dan mengendalikan sistem kutipan sisa automatik di Terminal Bersepadu Gombak (TBG), yang kini sudah mula beroperasi.
TBG terletak berhampiran Plaza Tol Gombak dan Stesen LRT Gombak di sepanjang Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan menjadi hab pengangkutan utama ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia, melalui Pahang, Terengganu dan Kelantan.
AWC berkata, perjanjian konsesi itu ditandatangani bersama Landasan Kapital (M) Sdn Bhd dan Terminal Bersepadu Gombak Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Presiden AWC, Datuk Ahmad Kabeer Mohamed Nagoor berkata, konsesi berkenaan akan menyumbang kepada pendapatan berulang syarikat serta mengukuhkan buku pesanan bahagian alam sekitar syarikat yang bernilai RM163 juta setakat akhir Disember 2024.
"Pencapaian ini sangat bermakna buat kami dan menunjukkan keupayaan teknikal serta rekod prestasi kami yang terbukti," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, konsesi tersebut juga memberikan kepastian pendapatan jangka panjang kepada syarikat bagi tempoh 10 tahun akan datang, sekali gus meningkatkan sumbangan pendapatan berulang yang kini merangkumi kira-kira 22% daripada keseluruhan hasil syarikat.
"Kami kekal optimis terhadap potensi pertumbuhan bahagian alam sekitar kami, baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa," ujarnya.
Tambah beliau, sistem kutipan sisa automatik dilihat sebagai masa depan dalam pengurusan kemudahan bandar dan syarikat bukan sekadar mengurus sisa, tetapi mencipta rumusan cekap serta mesra alam untuk hab pengangkutan moden.
Projek TBG merupakan inisiatif kedua AWC di bawah model bina-kendali-serah (build-operate-transfer), selepas kejayaan projek pertamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), yang kini telah beralih kepada kontrak penyelenggaraan selama tiga tahun bernilai RM8.9 juta.
AWC menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dalam empat bidang utama merangkumi pengurusan kemudahan, alam sekitar, kejuruteraan dan rel.
Bahagian alam sekitarnya, Stream Group Sdn Bhd, telah melaksanakan lebih 370 projek sistem kutipan sisa automatik di Asia dan Asia Barat. - DagangNews.com








