KUALA LUMPUR 17 Dis – AWC Berhad, sebuah kumpulan perkhidmatan kejuruteraan tersenarai di Pasaran Utama, memperkukuh pelan pertumbuhan dan pengurusan modalnya selepas pemegang saham meluluskan semua resolusi utama pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan hari ini.
Dalam kenyataan hari ini, AWC berkata EGM berkenaan mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi tiga cadangan strategik, iaitu penubuhan skim opsyen saham pekerja (ESOS) sehingga 15% daripada jumlah saham biasa terbitan AWC.
Cadangan terbitan bonus sehingga 84,839,895 waran percuma serta pemberian kuasa pembelian balik saham sehingga 10% daripada jumlah saham terbitan sedia ada.
Menurut AWC, cadangan bonus terbitan waran itu melibatkan pengagihan 1 waran bagi setiap 4 saham AWC sedia ada yang dipegang oleh pemegang saham yang layak pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan dan diumumkan kelak.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden AWC Berhad Datuk Ahmad Kabeer Mohamed Nagoor berkata kelulusan pemegang saham mencerminkan keyakinan berterusan terhadap hala tuju strategik kumpulan ketika AWC berada dalam fasa pengembangan perniagaan.
“Syarikat berterima kasih atas sokongan berterusan para pemegang saham dan menghargai keyakinan serta kesabaran yang diberikan kepada kami ketika kami meningkatkan skala perniagaan,” katanya.
Menurut beliau, cadangan bonus terbitan waran berfungsi sebagai satu lagi mekanisme untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham, di samping aliran dividen yang konsisten.
“Waran percuma ini memberi peluang kepada pemegang saham untuk menambah pegangan ekuiti melalui pelaksanaan waran pada harga yang ditetapkan sepanjang tempoh waran, selain berpotensi meraih kenaikan modal selari dengan prospek pertumbuhan kumpulan,” katanya.
Beliau berkata, dari sudut AWC, pelaksanaan waran tersebut berpotensi menyediakan dana tambahan bagi keperluan modal kerja apabila waran dilaksanakan, tanpa perlu menanggung kos faedah seperti pinjaman bank.
Sementara itu, menurut AWC, skim ESOS yang dicadangkan bertujuan mengiktiraf, memberi ganjaran dan mengekalkan kakitangan yang layak dengan menyelaraskan kepentingan mereka bersama pemegang saham melalui penyertaan dalam pertumbuhan dan keuntungan kumpulan.
“ESOS ini juga merupakan bentuk imbuhan bukan tunai yang mampu meningkatkan motivasi, menarik bakat berkemahiran serta memberi peluang kepada pekerja untuk menikmati potensi keuntungan modal daripada saham AWC,” kata Ahmad Kabeer.
Menurut AWC, harga pelaksanaan waran akan ditentukan dan ditetapkan oleh Lembaga Pengarah pada tarikh kemudian selepas semua kelulusan berkaitan diperoleh, dengan mengambil kira purata wajaran volum dagangan lima hari (5-day VWAP) serta harga dagangan sejarah saham AWC.
Lembaga Pengarah bercadang menetapkan harga pelaksanaan waran pada premium 20% hingga 30% berbanding VWAP 5 hari saham AWC sebelum tarikh penetapan harga.
Ini bertujuan menggalakkan pemegang waran melaksanakan waran, meningkatkan penyertaan ekuiti dalam syarikat, serta memberi fleksibiliti kepada Lembaga untuk mengambil kira turun naik pasaran.
AWC berkata, hasil daripada pelaksanaan waran kelak dijangka digunakan bagi membiayai keperluan modal kerja kumpulan.
Kesemua cadangan itu dijangka dapat diselesaikan menjelang suku pertama 2025, tertakluk kepada penerimaan semua kelulusan yang diperlukan dan tiada keadaan luar jangka. - DagangNews.com








