KUALA LUMPUR 12 Jan – AwanBiru Technology Berhad mengumumkan pelanjutan perjanjian perkhidmatan awan (Cloud Framework Agreement) antara kerajaan Malaysia, Google Cloud Malaysia dan anak syarikatnya, Awantec Systems Sdn. Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AwanBiru berkata pelanjutan terbaharu ini berkuat kuasa dari 1 Januari hingga 30 Jun 2026, atau sehingga CFA 2.0 tersedia, yang mana lebih awal.
“Perjanjian asal, CFA 1.0 mula dijalankan pada 17 Mac 2022 dan sebelum ini telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025.
“Pelanjutan ini membolehkan kerjasama berterusan antara kerajaan, Google Cloud dan Awantec untuk menyokong inisiatif digital kerajaan dan memastikan perkhidmatan awan terus berjalan tanpa gangguan,” katanya dalam makluman tersebut.
Lanjutan tempoh tersebut diberikan oleh kerajaan melalui Kementerian Digital.
Bagaimanapun, nilai kontrak tidak didedahkan dalam makluman tersebut.
Perjanjian rangka kerja awan itu pada asalnya dimeterai pada 17 Mac 2022 antara anak syarikat milik penuh AwanBiru iaitu Awantec Systems Sdn Bhd, kerajaan yang diwakili oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) serta Google Cloud Malaysia Sdn Bhd.
Perjanjian tersebut adalah bagi tempoh sehingga 35 bulan dan berakhir pada 31 Dis 2024. Ketika perjanjian itu pertama kali diumumkan, nilai kontrak tidak didedahkan.
Kumpulan itu berkata perjanjian tersebut menetapkan skop serta terma asas bagi pembelian perkhidmatan Google Cloud oleh kerajaan.
Dengan pelanjutan ini, Awantec dan rakan strategik akan terus menyokong projek digital kerajaan sehingga CFA 2.0 dapat dilaksanakan. - DagangNews.com








