KUALA LUMPUR 7 Ogos – Awanbiru Technology Berhad (Awantec) melancarkan rangkaian rumusan kecerdasan buatan (AI) miliknya, Awantec Intelligence hasil kerjasama strategik dengan Google Cloud.
Inisiatif tersebut merupakan komitmen Awantec untuk membangunkan rumusan digital tempatan berimpak tinggi dan sedia guna, sejajar dengan agenda pendigitalan nasional.
Ketua Pegawai Eksekutif Awantec, Azlan Zainal Abidin berkata, pelancaran itu menjadi bukti kesungguhan syarikat untuk membekalkan teknologi pintar yang praktikal dan berasaskan data kepada organisasi tempatan.
“Dengan Awantec Intelligence, kami menyediakan rumusan AI yang mampu memberi impak nyata dan boleh digunakan serta-merta.
“Kerjasama erat bersama Google membolehkan kami memperkasa agensi kerajaan dan syarikat swasta untuk beroperasi dengan lebih cekap, yakin dan selari dengan kehendak transformasi digital negara,” katanya pada majlis pelancaran di sini, hari ini.
Antara produk utama di bawah platform Awantec Intelligence ialah Awanlytics, AwanBot dan AwanBot+, yang masing-masing direka untuk memperkukuh pembuatan keputusan, perkhidmatan pelanggan dan operasi perniagaan melalui penggunaan teknologi AI.
Menurut Azlan, pembangunan keseluruhan platform ini dikendalikan oleh hanya empat individu dalam tempoh enam bulan, dengan pendekatan pembangunan yang berpusatkan pengguna.
“Proses pembangunan bermula dengan kolaborasi rapat bersama pengguna akhir dan pelaksanaan bukti konsep (proof of concept) lebih awal. Ini memastikan platform benar-benar memenuhi keperluan operasi sebenar, khususnya dalam konteks sektor kerajaan,” jelasnya.
Mengulas lanjut Azlan berkata, penyelesaian Awantec Intelligence direka supaya mudah diintegrasi dengan sistem sedia ada tanpa menjejaskan aspek keselamatan dan kemudahan penggunaan.
“Pelancaran ini mencerminkan aspirasi Awantec untuk membangunkan rumusan digital tempatan yang berdaya saing di peringkat global, selari dengan matlamat pendigitalan negara,” ujarnya.
Setiap produk mempunyai ciri-ciri dan fungsi yang berbeza iaitu Awanlytics, penyelesaian analitik masa nyata yang menjana pandangan berasaskan data untuk membantu keputusan perniagaan secara pantas dan tepat
AwanBot pula ialah pembantu maya pintar yang menggunakan pemprosesan bahasa semula jadi (NLP) bagi mengautomasi interaksi pelanggan secara berterusan
Selain itu, AwanBot+ ialah platform AI berprestasi tinggi yang mengautomasi proses manual, menjana pandangan boleh tindakan dan menyokong strategi perniagaan yang lebih efisien
Dengan pengenalan ini, Awantec menegaskan peranannya sebagai pemain teknologi tempatan yang bukan sahaja menyokong dasar ekonomi digital negara, malah turut membuka ruang kepada penggunaan AI yang lebih meluas dalam sektor awam dan swasta di Malaysia. - DagangNews.com








