KUALA LUMPUR 19 Mei – Australia sedang berunding dengan Malaysia mengenai kerjasama strategik bagi meningkatkan industri eksport daging halalnya.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke berkata, hasil rundingan tersebut penting bukan sahaja dari segi kelebihan dalam bidang pertanian tetapi juga teknologi membabitkan pertanian dan aspirasi Malaysia dalam industri halal.
"Terdapat banyak peluang dan kami berharap dapat memuktamadkan kerjasama melalui rundingan yang telah lama kami usahakan dengan Malaysia.
"Sebanyak 17 pengeksport daging Australia yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mematuhi piawaian halal tinggi ditetapkan bagi eksport ke Malaysia," katanya selepas program Bernama TV.
Pada 2024, Australia mengeksport 38,220 tan daging biri-biri halal dan 13,511 tan daging lembu serta daging anak lembu halal ke Malaysia, masing-masing bernilai AS$249.26 juta dan AS$120.83 juta menurut angka disediakan Suruhanjaya Tinggi Australia.
Malaysia juga menjadi pasaran eksport daging merah kedua terbesar Australia di Asia Tenggara selepas Indonesia dari segi jumlah, menurut 'Meat and Livestock Australia', yang menyediakan gambaran pasaran eksport daging lembu dan biri-biri ke Malaysia.
Penerbitan itu juga berkata, rakyat Malaysia mencatatkan penggunaan daging lembu perkapita tertinggi dalam kalangan negara ASEAN iaitu 8.8 kilogram seorang pada 2024.
Heinecke berkata, hubungan ekonomi Malaysia–Australia diperkukuh menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–Australia (MAFTA) yang memudahkan perdagangan barangan, perkhidmatan dan pelaburan.
"Malaysia ialah rakan dagangan kedua terbesar Australia dalam ASEAN dan rakan ke-10 terbesar secara keseluruhan, dengan jumlah perdagangan mencecah AS$33 bilion pada 2023–2024," katanya.
Antara jenama runcit Australia yang bertapak kukuh di Malaysia termasuk Aesop, Arnott's, Blackmores, Boost Juice, Cotton On, Harvey Norman, dan King Living.
"Canberra kini giat memperluas libat urus ekonomi di Asia Tenggara, khususnya menerusi misi perdagangan dan pelaburan yang disasarkan. Kami membawa misi perdagangan dan pelaburan ke sini berpusatkan Energy Asia serta meneroka peluang dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura. Australia juga merupakan pelabur teknologi digital keempat terbesar di Malaysia," tambah Heinecke.
Beliau turut memuji kejayaan pelaburan syarikat Malaysia di Australia, antaranya projek tenaga boleh baharu Gentari dan inisiatif infrastruktur pengangkutan berteknologi tinggi oleh Gamuda.
Malaysia dan Australia adalah anggota Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).- DagangNews.com








