KUALA LUMPUR 22 Julai – Atlan Holdings Bhd mencadangkan pelupusan 100 peratus pegangan ekuitinya dalam United Industries Holdings Sdn Bhd (UIHSB) kepada anak syarikatnya yang tersenarai di Singapura, Duty Free International Ltd (DFIL), pada harga RM175 juta.
Transaksi ini melibatkan pemindahan sebanyak 37.7 juta saham biasa UIHSB.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Atlan berkata, langkah itu termasuk dalam strategi penyusunan semula struktur perniagaan serta pengukuhan kedudukan kewangan kumpulan.
"Penilaian transaksi menunjukkan UIHSB diniagakan pada nilai 8.57 kali keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM20.42 juta untuk tahun kewangan berakhir 2025, dan pada 4.91 kali EBITDA, iaitu RM38.47 juta," Atlan.
UIHSB dan syarikat anaknya terlibat dalam pembuatan dan pemasaran komponen automotif seperti sistem ekzos, tangki bahan api dan sistem brek kepada pengeluar peralatan asal (OEM) di Malaysia.
Walaupun pelupusan 100 peratus pegangan akan dilakukan, UIHSB akan masih kekal sebagai subsidiari Atlan kerana DFIL memiliki 75.53 peratus kepentingan dalam UIHSB.
Namun, pegangan efektif Atlan akan berkurangan daripada 100 peratus kepada 75.53 peratus, sekaligus mengurangkan sumbangan keuntungan yang boleh diagihkan kepada kumpulan pada masa depan.
Hasil pelupusan tersebut akan disalurkan kepada beberapa tujuan iaitu: RM60 juta untuk projek pembangunan semula hartanah di Jalan Ampang, RM78.5 juta untuk pelaburan berpotensi, RM30 juta bagi modal kerja, dan RM6.5 juta untuk menampung perbelanjaan transaksi.
Selain daripada pengambilalihan UIHSB, DFIL turut mencadangkan untuk mempelbagaikan perniagaannya daripada fokus utama runcit bebas cukai kepada merangkumi pembuatan komponen automotif.
"Langkah ini dijangka dapat menjana aliran pendapatan berulang dan mengurangkan kebergantungan kepada segmen bebas cukai yang semakin kompetitif.
"Cadangan pelupusan dan mempelbagaikan perniagaan ini akan dibentangkan untuk kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) Atlan dan DFIL akan datang.
"Sekiranya mendapat kelulusan, ia dijangka dapat dimuktamadkan pada suku keempat 2025," katanya.- DagangNews.com








