KUALA LUMPUR 7 Ogos – Astro Malaysia Holdings Bhd melalui anak syarikatnya, Measat Broadcast Systems Sdn Bhd, telah menyelesaikan kes cetak rompak kandungan pertama melibatkan pengendali homestay menerusi penyelesaian bernilai RM70,000.
Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong berkata, pemilik homestay The Cactus X Empire itu dikesan menstrim saluran Astro secara haram di beberapa unit sewaannya di Iskandar Puteri dan Johor Bahru menggunakan peranti tanpa kebenaran dan tanpa langganan komersial yang sah.
“Sebagai sebahagian daripada penyelesaian tersebut, pengendali homestay itu bersetuju membayar RM46,000 sebagai ganti rugi dan kos guaman serta melanggan lima pakej AstroBIZone bernilai RM24,000 bagi tempoh minimum 12 bulan.
“Ia juga diwajibkan memohon maaf secara terbuka menerusi laman rasmi Facebook Cactus Homestay JB,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kes berkenaan adalah bukti mengenai peningkatan cetak rompak kandungan dalam sektor hospitality yang semakin berleluasa ketika ini.
“Sama ada hotel, kafe atau homestay, pemain industri perlu memahami bahawa penggunaan TV box untuk menstrim kandungan tanpa lesen komersial adalah menyalahi undang-undang dan menjejaskan ekonomi kreatif negara,” katanya.
Menurut Astro, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini telah memutuskan pada November 2022 bahawa penstriman kandungan daripada sumber tidak sah untuk kegunaan komersial adalah menyalahi undang-undang.
Dalam permohonan maafnya, The Cactus X Empire mengakui pelanggaran hak harta intelek Astro serta menyeru agar semua pengendali industri hospitaliti hanya menggunakan sumber kandungan berlesen.
“Kami mengecam segala bentuk cetak rompak dan komited menghormati hak intelek Astro. Kami menghargai peluang yang diberikan oleh Astro untuk memperbetulkan kesilapan ini,” jelas pengendali homestay tersebut.
Sementara itu, pada Januari lalu, Measat turut memperoleh pampasan RM175,000 selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Frenz Pool Café dan Tuwang 69 Sdn Bhd bersalah menstrim perlawanan Liga Perdana Inggeris secara tidak sah.
Injunksi kekal juga telah dikeluarkan bagi menghalang pelanggaran lanjut hak penyiaran Astro.- DagangNews.com








