KUALA LUMPUR 11 Dis – Astro Malaysia Holdings Bhd terus mencatatkan prestasi kewangan yang lemah bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26) iaitu lima suku berturut-turut yang sekali lagi mengecewakan pelabur, menurut Maybank Investment Bank.
Firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan ‘jual’ dengan menurunkan sasaran harga DCF daripada RM0.07 kepada RM0.03, mencerminkan penurunan 57% berikutan prestasi suku ketiga FY26 yang mengecewakan dan jangkaan keuntungan FY26E–28E yang lebih rendah.
Maybank IB menyatakan keuntungan bersih teras Astro bagi suku berkenaan hanya RM4 juta, walaupun meningkat 320% berbanding tahun sebelumnya, tetapi jumlah ini hanya 22% daripada anggaran mereka.
“Bagi tempoh 9 bulan pertama FY26, keuntungan bersih teras Astro jatuh 80% berbanding tahun sebelumnya manakala pendapatan menyusut kepada RM2.08 bilion, di bawah jangkaan pada 71% daripada ramalan tahunan.
“Punca prestasi mengecewakan ini termasuk trend saluran TV berbayar yang lebih lemah daripada dijangka, pendapatan iklan yang perlahan serta purata hasil per pengguna (ARPU) menurun kepada RM95.1, serta kadar cukai yang lebih tinggi daripada jangkaan,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Maybank IB juga menegaskan bilangan pelanggan saluran TV berbayar Astro terus mendatar yang menjejaskan asas pendapatan syarikat yang majoritinya (lebih 80%) datang daripada langganan TV.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Astro susut 81% kepada RM9 juta pada 3QFY26
Bagi tahun kewangan akan datang, Maybank IB kekal berhati-hati dan menurunkan anggaran keuntungan FY26E–28E sebanyak 47–70%.
Firma tersebut berkata, tiada sebarang tanda-tanda pemulihan ketara dalam bilangan pelanggan saluran TV berbayar atau pemulihan pendapatan iklan dalam masa terdekat hingga sederhana.
“Leverage operasi Astro yang tinggi menjadikan keuntungan syarikat sangat sensitif terhadap sebarang kekurangan hasil.
“Walaupun keadaan makro mungkin lebih stabil, asas keuntungan Astro dijangka kekal tidak menentu dan sangat bergantung kepada ketidakpastian hasil,” kata firma itu.
Sejak awal tahun kewangan ini, trend kelembapan prestasi Astro telah berterusan menyukarkan syarikat untuk memulihkan keyakinan pelabur dan meningkatkan nilai sahamnya. - DagangNews.com








