Astaka lancar projek pembangunan bercampur RM1.2 bilion di Arden@One Bukit Senyum, Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Astaka lancar projek pembangunan bercampur RM1.2 bilion di Arden@One Bukit Senyum, Johor

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Astaka Holdings Limited melancarkan projek pembangunan bercampur bernilai RM1.2 bilion, termasuk pusat beli-belah gaya hidup bersebelahan menara kediaman baharu mereka, Arden @ One Bukit Senyum di Johor.

 

Pemaju hartanah itu turut menjalin kerjasama strategik dengan CapitaLand Investment Limited sebagai penasihat runcit dan memanfaatkan pengalaman global CapitaLand dalam mengurus lebih 70 pusat beli-belah di Singapura, Malaysia dan China.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Astaka Holding Limited, Allen Khong berkata, projek itu adalah kemuncak usaha syarikat dalam merealisasikan visi pembangunan kawasan perniagaan pusat baharu di Johor Bahru yang berskala dunia.

 

“Dengan pembangunan Fasa 3, kami akan menjadikan visi One Bukit Senyum sebagai destinasi kediaman, komersial, runcit dan riadah bertaraf dunia satu realiti.

 

“Lokasi strategik kami bersempadan dengan Singapura dan berdekatan RTS Link akan membolehkan projek ini menjadi penerima utama manfaat daripada pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, termasuk pertumbuhan perdagangan, industri, pelancongan dan aktiviti rentas sempadan.

 

“Kerjasama dengan CapitaLand akan membolehkan Astaka memanfaatkan kepakaran pengurusan pusat beli-belah bertrafik tinggi bagi memaksimumkan potensi pusat beli-belah gaya hidup baharu ini, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan dan nilai keseluruhan One Bukit Senyum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Astaka menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Penasihat Runcit itu Bersama CapitaLand dengan disaksikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, CapitaLand akan memberikan sokongan penasihat runcit kepada Astaka termasuk perancangan aset, fasa pra-pembukaan dan pasca-pembukaan projek tersebut.

 

Pada majlis yang sama, Menteri Besar Johor dan barisan eksekutif kanan Astaka turut memperkenalkan pelan induk Fasa 3 projek bersepadu One Bukit Senyum.

 

Fasa 3 yang merangkumi pembangunan bercampur baharu ini serta pembangunan Arden dijangka mencatatkan jumlah GDV sebanyak RM2.1 bilion.

 

Secara keseluruhan, projek One Bukit Senyum termasuk Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 dianggarkan bernilai RM3.6 bilion. - DagangNews.com