ASM Automation sasar kumpul RM21.82 juta melalui IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ASM Automation sasar kumpul RM21.82 juta melalui IPO di Pasaran ACE

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 29 Mei - ASM Automation Group Berhad (ASM), merancang untuk mengumpul sebanyak RM21.82 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

IPO itu melibatkan penerbitan 128.34 juta saham baharu bersamaan 24% dan penjualan 53.48 juta saham sedia ada atau 10% daripada jumlah keseluruhan saham ASM selepas disenaraikan.

 

Harga bagi setiap saham ditetapkan pada 17 sen.

 

Hasil kutipan sebanyak RM21.82 juta akan digunakan untuk beberapa tujuan antaranya RM11.40 juta untuk pembelian tanah dan pembinaan kilang baharu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan pemasangan serta RM2.30 juta untuk pembelian mesin dan peralatan termasuk komponen bagi mesin demonstrasi.

 

Selain itu, sejumlah RM2.0 juta akan diperuntukkan untuk aktiviti reka bentuk dan pembangunan, keperluan modal kerja harian (RM1.92 juta) dan menampung kos penyenaraian (RM4.20 juta).

 

Pengarah Urusan ASM, Chan Kok Heng berkata, IPO tersebut bukan sahaja memberi dana kepada syarikat untuk berkembang, tetapi juga membantu menaikkan imej dan kepercayaan terhadap ASM sebagai syarikat tersenarai. 

 

"Dengan dana ini, kami akan meningkatkan daya cipta, menambah kapasiti pengeluaran dan meluaskan pasaran ke luar negara," katanya dalam satu kenyataan susulan pelancaran prospectus syarikat hari ini. 

 

Beliau turut berbangga dengan perjalanan ASM yang bermula sebagai syarikat automasi tempatan dan kini berkembang sebagai penyedia rumusan automasi yang dipercayai. 

 

"Penyenaraian ini akan membuka ruang untuk kami meluaskan keupayaan teknikal dan pasaran, selain meningkatkan kepercayaan pelabur terhadap jenama ASM," jelasnya.

 

Timbalan Ketua Kewangan Korporat M&A Securities Sdn Bhd, Danny Wong pula berkata, pihaknya berbesar hati menjadi sebahagian daripada proses penyenaraian ASM.

 

"ASM terus berkembang dengan baik dan berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan memberi tumpuan kepada keperluan pelanggan.

 

"Melalui IPO ini, syarikat berada dalam kedudukan terbaik untuk melaksanakan rancangan pertumbuhan, menjalankan projek besar dan mengukuhkan kedudukan di pasaran dalam dan luar negara," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd, Kelvin Khoo menyifatkan, ASM mempunyai potensi besar untuk terus berkembang, terutama dalam sektor makanan dan minuman (F&B) yang pesat membangun, kerana syarikat mampu menyesuaikan teknologi automasi mengikut keperluan pasaran.

 

"Dengan dana yang diperoleh, ASM berada dalam keadaan baik untuk meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), mengurangkan kos dan mengembangkan perniagaan secara terancang.

 

"Kami yakin pelabur melihat potensi jangka panjang ASM untuk terus maju," jelasnya.

 

M & A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO itu, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd berperanan sebagai penasihat kewangan. - DagangNews.com