KUALA LUMPUR 15 Mei - Asia Vision Capital Sdn Bhd (AVC) menyasarkan pelaburan awal RM300 juta menerusi pelancaran dana hartanah terbaharu patuh syariah, QJBCCI PLT, bagi membiayai pembangunan Quayside JBCC di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang pesat membangun di Asia Tenggara.
Dana itu menawarkan pelabur bertauliah akses berstruktur melalui pembelian Saham Keutamaan Boleh Tebus Boleh Tukar (RCPS), melengkapkan dana konvensional QJBCCA PLT yang dilancarkan pada Januari lalu.
QJBCCI PLT beroperasi dalam kerangka kawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dengan TMF Group sebagai pemegang amanah dan Tawafuq Consultancy selaku penasihat syariah.
Pelabur akan menerima agihan dividen setiap suku tahun serta pilihan penebusan selepas lima tahun melalui struktur pelaburan RCPS.
Ketua Pegawai Pelaburan AVC, Ian Khor berkata, projek itu bakal meraih manfaat daripada pembangunan infrastruktur utama seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura.
"Melalui dana ini, pelabur memperoleh pendedahan kepada sektor hartanah merangkumi hospitaliti, kediaman perkhidmatan, parkir, ruang runcit, restoran bumbung serta papan iklan LED digital," katanya dalam satu kenyataan.
AVC bercadang melancarkan aplikasi mudah alih menjelang akhir tahun bagi membolehkan pelabur memantau prestasi dana secara langsung melalui papan pemuka digital.
AVC turut menilai potensi menukar pembangunan itu kepada Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) tersenarai awam menjelang 2032, bagi membolehkan pelabur mengakses pasaran terbuka dengan lebih mudah dan fleksibel.
Quayside JBCC dibangunkan oleh Bangsar Heights Pavilion (BHP) dan dijangka mula beroperasi pada 2027/2028. Ia bakal menempatkan kediaman mewah yang dikendalikan oleh Oakwood by Ascott serta hotel di bawah jenama Hyatt Place.
Pembangunan tersebut telah meraih pelbagai anugerah pada 2024 termasuk empat pengiktirafan di PropertyGuru Asia Awards Malaysia bersama iProperty, serta anugerah serantau lain seperti OPAL, Asia Pacific Property Awards, dan ASEAN Property Developer Awards.- DagangNews.com








