Aset pendidikan Hektar REIT, Kolej Yayasan Saad terus cemerlang dalam SPM 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aset pendidikan Hektar REIT, Kolej Yayasan Saad terus cemerlang dalam SPM 2024

Gambar/FB Kolej Yayasan Saad Melaka - KYSM
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 2 Mei - Pengurus Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT), Hektar Asset Management Sdn Bhd, mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kolej Yayasan Saad (KYS) Melaka atas pencapaian cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, baru-baru ini.

 

Beroperasi di kampus milik Hektar REIT, KYS sekali lagi membuktikan kecemerlangan apabila berada di kedudukan kesembilan terbaik di seluruh negara, berdasarkan data rasmi Kementerian Pendidikan. 

 

Lebih membanggakan, sebanyak 50% pelajarnya berjaya memperoleh semua A dalam peperiksaan tersebut.

 

Pencapaian itu mengukuhkan lagi kedudukan KYS sebagai antara sekolah menengah swasta terbaik di Malaysia, serta memperlihatkan kekuatan institusi pendidikan yang disokong oleh pelaburan Hektar REIT dalam sektor hartanah pendidikan.

 

Selain itu, separuh daripada kumpulan pelajar SPM sebelum ini turut menerima biasiswa penuh untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, menunjukkan keupayaan KYS dalam melahirkan pelajar cemerlang.

 

hektar
Zainal Iskandar

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management, Zainal Iskandar berkata, pencapaian berterusan KYS membuktikan kekuatan akademik, nilai kepimpinan dan budaya kecemerlangan sekolah. 

 

"Bagi Hektar REIT, ini menunjukkan betapa pentingnya infrastruktur pendidikan berkualiti untuk melahirkan pemimpin masa depan negara.

 

"Kami komited untuk melabur dalam aset yang kukuh dan memberi manfaat jangka panjang serta menyokong pembangunan negara," katanya dalam satu kenyataan.

 

KYS dikenali dengan pendekatan pendidikan menyeluruh yang bukan sahaja menekankan akademik, tetapi turut memupuk nilai kepimpinan, penguasaan pelbagai bahasa dan kreativiti. 

 

Pelajarnya turut didedahkan kepada program seperti pengaturcaraan, bahasa Mandarin dan Perancis, muzik, seni, sukan serta pengucapan awam. 

 

Program pertukaran pelajar antarabangsa dan pembangunan kepimpinan juga ditekankan dalam pembelajaran mereka.

 

Majoriti graduan KYS diterima masuk ke universiti ternama dunia seperti Harvard, Cambridge dan institusi Ivy League yang lain. 

 

Antara yang membanggakan, bekas pelajar, Athena Siow yang berjaya mendapat tempat di Harvard College dengan biasiswa penuh dan bakal menamatkan pengajian pada tahun 2029.

 

Athena berkata, KYS bukan sekadar sekolah, ia adalah tempat yang membentuknya menjadi lebih baik dalam semua aspek, bukan hanya akademik. 

 

"Sokongan yang diberikan serta budaya kecemerlangan sangat bermakna bagi saya. Saya bangga menjadi sebahagian daripada legasi KYS," ujarnya.

 

Hektar REIT melengkapkan pengambilalihan kampus KYS pada suku ketiga 2024 sebagai sebahagian daripada strategi mempelbagaikan portfolio pelaburan. 

 

Hartanah itu disewa secara jangka panjang dan memberi pendapatan stabil kepada Hektar REIT, sekali gus memperkukuh usaha pelaburan mampan yang memberi kesan positif kepada masyarakat. - DagangNews.com