ASEAN tidak akan bertindak balas sebaliknya berunding kurangkan tarif Trump - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ASEAN tidak akan bertindak balas sebaliknya berunding kurangkan tarif Trump - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR 4 April (Bernama) - Malaysia, selaku pengerusi ASEAN tahun ini akan mengutamakan kepentingan memperkukuh hubungan ekonomi serantau susulan pengumuman tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas negara anggota blok itu, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Selain itu, katanya, negara juga akan memimpin usaha rundingan bersama negara-negara anggota lain dengan Washington untuk kemungkinan mengurangkan tarif timbal balik ke atas import ke AS.

 

Amir Hamzah berkata perkumpulan Asia Tenggara itu akan berbuat demikian menerusi institusi Amerika untuk mengurangkan tarif tersebut yang jelas sekali membantutkan perdagangan global.

 

 

Bercakap kepada media menjelang Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-12 (AFMGM) pada minggu depan beliau berkata ketika negara-negara di seluruh dunia sedang menilai impak tarif itu ke atas ekonomi masing-masing, anggota ASEAN bersatu mengambil pendekatan tidak bertindak balas dan berusaha mencari penyelesaian yang baik.

 

“Pada masa ini, jika anda melihat melalui semua kenyataan yang dikeluarkan oleh negara-negara ASEAN, kita tidak melihat reaksi untuk bertindak balas (tetapi) lebih kepada mengadakan perbincangan untuk memahami tindakan mereka (AS) dan kemungkinan berusaha mengurangkan asas tarif,” katanya.

 

 

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
                                 Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

 

 

Amir Hamzah berkata perbincangan mengenai tarif AS dijangka berlangsung pada sesi dialog persendirian pada AFMGM ke-12 dan ASEAN sebagai sebuah blok akan terus menumpu untuk meningkatkan perdagangan intra-ASEAN bagi membina daya tahan dalam menghadapi dinamik perdagangan global yang berkembang.

 

Negara anggota wilayah Indo-Cina ASEAN paling teruk terjejas akibat daripada tarif tersebut, dengan Kemboja dikenakan tarif asas dan timbal balik berjumlah 49%, diikuti Laos (48%), (Vietnam 46%) dan Myanmar (44%).

 

Sementara itu, Thailand dikenakan tarif 36%, Indonesia 32%, Brunei dan Malaysia kedua-duanya pada 24%, Filipina 17% dan Singapura pada tarif asas 10%.

 

Mengulas mengenai perspektif ASEAN terhadap tarif yang diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump itu, Amir Hamzah berkata perkumpulan Asia Tenggara tersebut yang kini berusia 57 tahun secara umumnya akan mengambil pendekatan secara permuafakatan dalam menangani isu ini.

 

"Kita akan berusaha memastikan ia kekal inklusif," katanya, sambil menambah penting bagi negara anggota untuk mengambil "keputusan berdasarkan analisis yang sangat tenang dan dialog terbuka".

 

"Reaksi berdasarkan emosi adalah mekanisme yang tidak langsung membantu," katanya.

 

Amir Hamzah berkata Malaysia sangat konsisten sebagai sebuah ekonomi perdagangan terbuka dan penyokong tegar perdagangan bebas.

 

“Kita mahu mempromosikan ini (perdagangan bebas), dan kita mahu ia diteruskan.

 

"Ini bermakna dalam proses berbincang dengan mereka (AS), kita akan dapat mencari jalan lain. Mari kita fahami isu itu, dan biarlah kita berdialog tentang apa yang boleh kita lakukan, sesuaikan diri dan teruskan langkah," katanya.

 

Ditanya tentang kemungkinan negara anggota mengambil pendekatan unilateral, Amir Hamzah berkata setiap negara harus melihat perkara yang mereka perlukan dan membuat penyelarasan.

 

Tetapi matlamat utama adalah untuk melihat bagaimana ASEAN sebagai sebuah perkumpulan terus menyokong perdagangan, dan kembali kepada prinsip terasnya, iaitu untuk didengari sebagai satu suara, melihat peluang dalam sistem ASEAN dan menggalakkan perdagangan intra serantau. BERNAMA