Arshad Mohamed Ismail dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MARC Ratings | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Arshad Mohamed Ismail dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MARC Ratings

Arshad Mohamed Ismail
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) mengukuhkan struktur kepimpinannya apabila Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Arshad Mohamed Ismail, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MARC Ratings Berhad, berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

 

Pelantikan itu dibuat susulan persaraan Rajan Paramesran, yang menamatkan perkhidmatan beliau pada 31 Julai lalu selepas menerajui MARC Ratings selama 17 tahun.

 

Di bawah kepimpinannya, MARC Ratings dikenali sebagai antara agensi penarafan yang paling konsisten dari segi ketelusan dan kecemerlangan analitikal dalam pasaran tempatan.

 

Arshad berkata, firma penarafan itu amat menghargai khidmat cemerlang Rajan yang telah banyak menyumbang kepada kekuatan asas MARC Ratings hari ini.

 

“Saya kini bersedia untuk bekerjasama lebih rapat bersama pasukan bagi mencapai kemajuan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pelantikan Arshad dilihat sebagai langkah strategik untuk menjamin kesinambungan kepimpinan dan memperkukuh peranan MARC Ratings dalam pasaran modal negara.

 

Dalam perkembangan berkaitan, MARC turut mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Pegawai Penarafan, Taufiq Kamal sebagai ahli Jawatankuasa Penarafan.

 

Beliau akan menyokong Ketua Pegawai Penarafan, Hafiza Abdul Rashid, dalam meningkatkan kecekapan operasi, tadbir urus dan proses analitikal.

 

test
Taufiq Kamal

 

Langkah itu sebahagian daripada strategi MARC untuk mengekalkan mutu penarafan yang tinggi, selain memastikan daya saingnya dalam sektor kewangan yang semakin dinamik.

 

MARC ditubuhkan pada tahun 1996 dan kini mempunyai empat anak syarikat utama iaitu MARC Ratings, MARC Data, MARC Solutions dan MARC Learning yang menawarkan pelbagai penyelesaian dalam bidang penarafan kredit, data dan analitik, ESG serta latihan korporat. - DagangNews.com