KUALA LUMPUR 8 April - Peneraju global dalam penyelenggaraan, pembaikan, dan pembaikan semula (MRO) bagi kipas pesawat, Aircraft Propeller Service (APS), bakal membuka sebuah kemudahan penyelenggaraan di Kuala Lumpur, sekali gus membuka jalan kepada Malaysia untuk menjadi hab MRO utama di rantau ini.
Ia susulan kejayaan APS Asia Pasifik menerima sijil pengiktirafan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA), satu pencapaian penting kerana kebanyakan pengawal selia penerbangan awam negara di seluruh dunia mengiktiraf sijil tersebut.
APS kekal sebagai satu-satunya MRO di Asia dan Amerika yang diberi lesen untuk melakukan pembaikan kipas 568F yang dimiliki berdasarkan perjanjian dengan pengeluar peralatan asal (OEM), Collins Aerospace.
Kemudahan canggih di Kuala Lumpur berkenaan, yang dijadualkan dibuka dalam beberapa bulan akan datang, bakal memulakan operasi dengan penyelenggaraan kipas untuk pesawat ATR 72 dan Airbus C295, tetapi berhasrat untuk mengembangkan keupayaan MRO mereka dari semasa ke semasa.
Terletak di Malaysia, ia berada di lokasi strategik untuk memenuhi permintaan pasaran turboprop Asia Pasifik yang semakin berkembang.
Rantau ini menyumbang 37% daripada armada ATR global dan dijangka memerlukan hampir 1,000 pesawat turboprop tambahan dalam dua dekad akan datang.
Pengarah Urusan Asia Pasifik di APS, Fergus D Lopez berkata, pihaknya menawarkan sistem kualiti operasi MRO bertaraf dunia di Asia Pasifik.
"Pencapaian ini membuktikan program latihan yang ketat, prosedur dan proses yang cemerlang, serta budaya kemenangan yang mendorong kecemerlangan dalam segala yang kami lakukan," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif APS, Daniel Colbert pula menambah, kemudahan di Kuala Lumpur itu adalah langkah penting bagi APS dalam menyediakan perkhidmatan kepada pelanggannya di Asia Pasifik.
"Dengan menubuhkan pusat MRO khusus di rantau ini, kami mahu berada lebih dekat dengan pelanggan kami dan menjimatkan masa mereka.
"Kami bukan hanya mengembangkan jejak kami, tetapi ini adalah komitmen jangka panjang kepada rantau ini," jelasnya. - DagangNews.com








