Anwar pertimbang PRU lebih awal sekitar Oktober 2026, lapor Bloomberg | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anwar pertimbang PRU lebih awal sekitar Oktober 2026, lapor Bloomberg

KUALA LUMPUR 24 April - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) seawal suku ketiga tahun ini, ketika kerajaan berdepan tekanan untuk membuat keputusan besar sama ada melaksanakan pengurangan subsidi bahan api susulan lonjakan harga tenaga global, lapor Bloomberg.

 

Agensi berita antarabangsa itu yang memetik sumber rapat berkata, pilihan raya berkemungkinan diadakan selewat-lewatnya Oktober ini, bergantung kepada sama ada kerajaan perlu melaksanakan pengurangan subsidi tambahan dalam tempoh terdekat.

 

Bagaimanapun menurut sumber berkenaan, perbincangan itu masih di peringkat awal dan belum ada keputusan muktamad dibuat setakat ini.

 

Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan yang dihubungi Bloomberg bagaimanapun tidak memberi maklum balas terhadap permintaan komen.

 

Sementara itu penganalisis politik berpandangan, langkah membubarkan Parlimen sebelum pelaksanaan kenaikan harga bahan api boleh memberi kelebihan politik kepada kerajaan.

 

“Masa terbaik adalah sebelum kerajaan terpaksa membuat keputusan tidak popular seperti menaikkan harga bahan api," kata pengasas Viewfinder Global Affairs, Adib Zalkapli. 

 

“Keputusan sukar seperti menaikkan harga bahan api boleh dibuat selepas kerajaan memperoleh mandat baharu,” tambahnya lagi.

 

Kerajaan kini dilaporkan sedang merangka pendekatan subsidi bahan api yang lebih bersasar seawal separuh kedua tahun ini, dengan kemungkinan kenaikan harga bagi golongan berpendapatan tinggi bagi mengurangkan beban fiskal.

 

Menurut Kementerian Kewangan, bil subsidi bahan api bulanan negara melonjak hampir 10 kali ganda kepada sekitar RM7 bilion sejak konflik geopolitik di Timur Tengah bermula pada akhir Februari, sekali gus memberi tekanan kepada sasaran defisit negara.

 

Harga bahan api kekal isu sensitif dalam kalangan rakyat memandangkan subsidi yang telah lama dinikmati, dan sebarang pengurangan berisiko mencetuskan reaksi negatif pengundi.

 

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, walaupun pembaharuan subsidi sebelum ini membantu mengurangkan beban kerajaan, kos semasa masih tinggi.

 

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan perubahan dasar secara mendadak.

 

Sebelum konflik Timur Tengah bermula, Anwar dilaporkan telah mempertimbangkan pilihan raya tahun ini susulan keadaan ekonomi yang stabil, pengukuhan ringgit serta peningkatan profil antarabangsa Malaysia, selain kelemahan dalam gabungan pembangkang.

 

Namun, konflik global yang mendorong kenaikan harga minyak kini meningkatkan keperluan untuk membuat keputusan lebih awal.

 

Pada awal April, Anwar menolak kemungkinan PRU mengejut dalam tempoh satu hingga dua bulan, sebaliknya menggesa semua pihak memberi tumpuan kepada pengurusan kesan krisis tenaga global.

 

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, pembubaran Parlimen memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar, walaupun lazimnya dibuat atas nasihat Perdana Menteri.

 

Selain itu, cadangan mengadakan PRU lebih awal turut dikaitkan dengan usaha menggabungkan pilihan raya Persekutuan dengan beberapa pilihan raya negeri yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh 12 bulan akan datang bagi menjimatkan kos.

 

Antara negeri terlibat termasuk Johor, Melaka dan Sarawak, manakala Perlis turut berdepan kemungkinan pilihan raya mengejut susulan ketidaktentuan politik dalaman. - DagangNews.com