KUALA LUMPUR 21 Julai - Aneka Jaringan Holdings menerusi Aneka Jaringan Sdn Bhd menerima kontrak RM72.3 juta daripada Quantum Alpha Sdn Bhd bagi pelaksanaan kerja-kerja cerucuk bagi sebuah pusat data di Eco Business Park V, Kuala Selangor.
Kumpulan itu berkata, projek itu melibatkan pembinaan dua blok pusat data berserta pejabat operasi, pejabat am, pencawang pengguna kawasan ruang dan laman servis elektrikal dan mekanikal serta tangki air, pondok pengawal serta tapak serahan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Kontrak itu akan bermula pada 28 Julai dan siap sepenuhnya pada 27 Disember 2025," katanya dalam satu nota kajian.
Kumpulan itu berkata, kontrak tersebut tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pemegangan saham syarikat.
Katanya, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan terkumpul dan aset bersih Aneka Jaringan bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025 dan 31 Ogos 2026.
Syarikat tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan kontrak itu dan akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengurangkan risiko tersebut. - DagangNews.com








