KUALA LUMPUR 23 April - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun unjuran pendapatan Inari Amertron Bhd pada FY25 sebanyak 21% bagi mencerminkan kadar penggunaan dan andaian margin lebih rendah untuk segmen frekuensi radio (RF).
Katanya, ramalam pendapatan yang disemak semula itu adalah 18% hingga 23% di bawah ramalan konsensus.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun unjuran pendapatan kumpulan pada FY25 diturunkan, saham sektor teknologi masih didagangkan pada penilaian menarik sebanyak 18.6x nisbah pendapatan kepada harga (PE) 2026, tahap yang sudah lama tidak dicapai sejak pengembangan berganda pasca COVID-19.
"Harga sasaran yang disemak semula untuk Inari ialah RM2.10 sesaham, ditambat kepada 25 kali nisbah PE 2026 (tidak termasuk pendapatan faedah), ditambah tunai bersih RM2.2 bilion.
"Inari memperoleh kira-kira 60% daripada pendapatannya daripada segmen RF, dengan Pelanggan B sebagai pelanggan utamanya.
"Tiada kesan langsung daripada tarif Amerika Syarikat (AS) kerana cip RF ini akhirnya terikat untuk kilang Perkhidmatan Pembuatan Elektronik di China dan India untuk pemasangan terakhir jenama telefon pintar AS," katanya dalam satu nota kajian.
HLIB berkata, tiada kesan tarif langsung untuk segmen optoelektronik Inari (30% daripada hasil), selain daripada pasaran akhir yang lebih lemah disebabkan kelembapan dalam ekonomi pasaran global.
Katanya, bahagian optoelektronik Inari menyediakan perkhidmatan komunikasi data, automotif dan pasaran perindustrian.
Firma penyelidikan itu berkata, buat masa ini, senario terburuk (kadar tarif yang sangat menghukum ke atas China) telah dielakkan memandangkan pengecualian sementara pada telefon pintar, memberikan kemungkinan satu hingga dua bulan penangguhan sebelum sebarang potensi tarif di bawah Seksyen 232 dikenakan.
Katanya, Ini membawa sedikit kelegaan jangka pendek kepada rantaian bekalan, walaupun tarif berkaitan fentanyl sebanyak 20% ke atas import China masih kekal.
Senario kes asasnya mengandaikan bahawa tarif akhirnya ke atas cip dan elektronik akan dikenakan di bawah Seksyen 232 (mungkin 25%), yang boleh mendorong kenaikan 12% hingga 13% dalam harga runcit telefon pintar di AS jika kos tarif diaslurkan sepenuhnya kepada pengguna. - DagangNews.com








