Ancom Nylex diunjur catat pertumbuhan kukuh FY26 disokong eksport dan produk agrokimia baharu, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ancom Nylex diunjur catat pertumbuhan kukuh FY26 disokong eksport dan produk agrokimia baharu, kata penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai –  Ancom Nylex Bhd diunjur mencatat pertumbuhan pendapatan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026 (FY26) disokong pelancaran komersial produk agrokimia baharu, peningkatan eksport serta inisiatif pengoptimuman kos yang sedang dijalankan, kata penganalisis.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, walaupun keuntungan bersih kumpulan menyusut kepada RM17.07 juta pada suku keempat FY25 (4Q25), keputusan kewangan tahunan berjumlah RM64.49 juta adalah melebihi jangkaan dan sejajar dengan anggaran pasaran.

 

“Kumpulan turut mencatat hasil sebanyak RM459.37 juta bagi suku tersebut, menjadikan jumlah pendapatan tahunan RM1.87 bilion.

 

“Prestasi pendapatan akan terus positif berikutan pelaksanaan penuh secara komersial Chemical T, bahan aktif baharu yang mula dikilangkan sejak April 2025 dan dijangka mencapai kapasiti penuh sebanyak 1,000 tan setahun menjelang suku kedua tahun ini,” kata firma itu dalam nota kajiannya

 

HLIB mengekalkan saranan “beli” ke atas Ancom Nylex dengan harga sasaran RM1.13, berdasarkan 15 kali unjuran pendapatan sesaham FY26 sebanyak 7.5 sen.

 

ARTIKEL BERKAITAN Keuntungan Ancom Nylex susut 22% kepada RM63.49 juta akibat kos fret tinggi, turun naik forex

 

Sementara itu, Kenanga Research turut memberi unjuran positif terhadap prestasi kumpulan, dengan jangkaan peningkatan 50% dalam pendapatan sesaham teras kepada 8.8 sen bagi FY26, berbanding 5.9 sen yang direkodkan pada FY25. - DagangNews.com