KUALA LUMPUR 24 April - Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad, anak syarikat kerajaan negeri, menerusi EPIC OG Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Petronas yang berlangsung di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Perjanjian itu dimeterai sempena program Executive Annual Dialogue (AuDi) 2025 anjuran Malaysia Petroleum Management (MPM),dalam satu langkah memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir industri minyak dan gas tempatan.
Inisiatif Bakat (Skilled Trade) itu menyasarkan pembangunan kemahiran teknikal berasaskan bidang kerja khusus seperti kerja-kerja mengikat, mengikis & mengecat, pemasangan perancah, kimpalan, membuat sambungan dan pelayaran luar pesisir.
Kerjasama itu yang mempromosi, menyokong, dan memperkasakan pembangunan kemahiran teknikal dalam bidang-bidang kerja berasaskan kemahiran merupakan satu usaha penting dalam menyediakan sumber manusia yang berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan industri.
Menurut kenyataan rasmi Petronas, kerjasama itu bertujuan mengukuhkan bidang perdagangan kritikal luar pesisir seperti kerja-kerja pengikatan, menghakis dan mengecat, pembinaan perancah, kimpalan, membuat sambungan dan pelayaran.
"Ia juga memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran pelaut tempatan bagi melahirkan lebih ramai pegawai yang berkelayakan dalam operasi marin luar pesisir," katanya.
Merujuk kepada perkembangan yang sama, Naib Presiden Kanan MPM Petronas, Datuk Ir. Bacho Pilong, menyatakan sokongannya terhadap kerjasama itu, menekankan peningkatan kemahiran tenaga kerja adalah asas kepada kejayaan jangka panjang sektor 'Oil and Gas Services and Equipment' (OGSE) di Malaysia.
"Kerjasama ini adalah manifestasi komitmen Petronas untuk memperkukuh ekosistem OGSE tempatan, serta menyumbang kepada pembangunan sektor ini yang mampan dan berdaya saing," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, MoU ini turut disertai oleh beberapa syarikat besar lain dalam industri minyak dan gas, menjadikannya satu usaha kolektif yang melibatkan pemain utama.
"Antara syarikat lain yang turut menandatangani MoU berkenaan termasuklah Malaysia OSV Owners’ Association (MOSVA), Sapura Energy, Petra Energy, Turcomp Engineering Services dan HHA Associates," katanya.
Beliau turut berkongsi detik simbolik pertukaran dokumen MoU bersama Pengurus Besar Kanan, POM Petronas MPM, Handan Ramli.
Majlis itu turut disaksikan oleh Naib Presiden Perolehan Kumpulan Petronas, Rashidah Alias, Pengurus Besar Kanan RDM MPM Petronas, Ir. Norafizal Mat Saad serta Pengurus Besar, EPIC OG Sdn Bhd, Mohamad Irwan Abdul.- DagangNews.com








