KUALA LUMPUR 9 Mei — Perak Transit Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Perbandaran Kangar untuk mengurus Terminal Perlis Sentral selama 15 tahun.
Pengurusan terminal itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuh Perak Transit, sekali gus menandakan langkah pertama syarikat mengembangkan operasi di luar Perak.
Kerjasama itu sejajar dengan strategi korporat keseluruhan kumpulan untuk meraih peluang mendapatkan kontrak pengurusan terminal baharu daripada terminal pihak ketiga.
Ia menyokong pertumbuhan model perniagaan aset ringan dengan memanfaatkan pengalaman berharga dan pengetahuannya dalam persediaan, pengurusan dan pengendalian terminal bas.
Pengarah Eksekutif Perak Transit, Datuk Cheong Peak Sooi berkata, syarikat telah mula beroperasi dan pengurusan Terminal Perlis Sentral pada 24 Mac 2025 melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Terminal Perak Transit.
"Ketika ini, sebanyak 27 pengendali bas ekspres beroperasi di terminal berkenaan.
"Terminal setingkat itu dibina atas tanah seluas 5.31 hektar, dengan keluasan binaan kasar 19,448 kaki persegi dan kawasan sewaan bersih 2,729 kaki persegi yang menempatkan kedai serta kiosk," katanya dalam satu kenyataan.
Perjanjian muktamad kerjasama dijangka ditandatangani dalam masa terdekat.- DagangNews.com








