Anak syarikat OCK Group, EI Power mohon disenaraikan di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat OCK Group, EI Power mohon disenaraikan di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept – Anak syarikat OCK Group, EI Power Bhd iaitu syarikat kejuruteraan yang membangunkan sistem elektrik untuk pusat data memohon untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana pengembangan operasi syarikatnya.

 

Menurut prospektus draf, syarikat itu merancang menggunakan hasil tawaran awam permulaan (IPO) untuk membiayai pengembangan produk termasuk sistem kecekapan tenaga seperti sistem loji penyejuk yang mampu menjana pendapatan berulang.

 

Menurut EI Power, syarikat itu menawarkan rumusan bersepadu untuk mengurangkan penggunaan tenaga serta pelepasan karbon, seiring dengan kebimbangan terhadap alam sekitar.

 

Ketika ini, EI Power menumpukan perniagaannya kepada tiga segmen utama iaitu sistem penjanaan diesel, pengedaran bahan api dan tenaga boleh diperbaharui melalui pemasangan sistem solar fotovoltaik. 

 

Fokus ini membolehkan syarikat memenuhi keperluan tenaga kritikal pusat data serta menyediakan penyelesaian kuasa konvensional untuk sektor komersial, industri dan kediaman.

 

OCK Group Bhd yang lebih dikenali sebagai penyedia infrastruktur telekomunikasi, bersama Pengarah Urusannya Datuk Wira Sam Ooi Chin Khoon memiliki sekitar 62% pegangan dalam EI Power.

 

Selain membekalkan sistem kuasa kritikal kepada pusat data, EI Power yang berpangkalan di Shah Alam turut menawarkan penyelesaian kuasa konvensional untuk bangunan komersial, perindustrian dan kediaman.

 

EI Power berkata, sebahagian hasil IPO akan digunakan untuk memperoleh hartanah di Shah Alam sebagai ibu pejabat baharu yang turut berfungsi sebagai gudang.

 

“EI Power juga merancang membuka pejabat di Thailand bagi merebut peluang daripada pertumbuhan pusat data di rantau itu.

 

“Selain itu, sebuah cawangan baharu akan diwujudkan di Johor menggunakan dana IPO, melibatkan terbitan awam 129.5 juta saham baharu pada harga yang akan ditentukan kemudian,” katanya.

 

Untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024, EI Power mencatat keuntungan bersih melebihi RM9 juta daripada hasil RM50 juta, dengan sebahagian besar disumbangkan oleh segmen kuasa kritikal.

 

Dalam masa sama, penjualan 70 juta saham sedia ada akan memberi hasil terus kepada pemegang saham penjual iaitu OCK Group, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengasas bersama Albert Chang serta pemegang saham utama Siew Wei Foo.

 

M&A Securities dilantik sebagai penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi proses penyenaraian ini.- DagangNews.com