KUALA LUMPUR 23 Julai – Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) menjangkakan ekonomi rantau ASEAN+3 yang terdiri daripada 10 negara anggota ASEAN bersama China, Jepun dan Korea Selatan akan berkembang sebanyak 3.8 peratus pada 2025 dan 3.6 peratus pada 2026.
Unjuran tersebut berdasarkan kemas kini suku tahunan terkini menerusi laporan utama AMRO, ASEAN+3 Regional Economic Outlook (AREO).
Ketua Ahli Ekonomi AMRO, Dr. Dong He berkata, unjuran itu lebih rendah berbanding anggaran yang dibuat sebelum ini iaitu 4.2 peratus bagi 2025 dan 4.1 peratus bagi 2026, memandangkan ramalan pada April lalu tidak mengambil kira kesan daripada pengumuman tarif baharu oleh Amerika Syarikat.
"Namun, yang memberangsangkan apabila rantau ASEAN+3 memasuki tempoh ketidaktentuan perdagangan global ini dengan kedudukan yang agak kukuh dan berdaya tahan kerana sebahagian besar penggubal dasar telah bertindak awal bagi mengurangkan kesan kejutan perdagangan dan masih mempunyai ruang dasar untuk menyokong ekonomi sekiranya diperlukan,” katanya.
Menurut AMRO, inflasi di rantau ini terus menunjukkan trend penurunan meskipun berlaku lonjakan sementara harga minyak susulan ketegangan di Timur Tengah.
Pasaran kewangan serantau turut menunjukkan ketahanan, dengan mata wang rantau ini secara umumnya mengukuh berbanding dolar AS di tengah-tengah kebimbangan pasaran terhadap ketidakpastian dasar AS.
Namun begitu, beliau bekata,prospek pertumbuhan ASEAN+3 kekal terkesan oleh ketidaktentuan global yang tinggi dengan peningkatan tarif oleh AS menjadi risiko utama.
"Kemajuan yang tidak sekata dalam rundingan tarif serta potensi peluasan tarif kepada produk lain boleh terus mengganggu aktiviti perdagangan dan memberi tekanan kepada pertumbuhan.
"Ketegangan geopolitik yang berterusan turut menambah cabaran kepada landskap ekonomi, selain kemungkinan kelembapan ekonomi AS dan Eropah yang lebih mendadak daripada jangkaan serta keadaan kewangan global yang lebih ketat akibat kadar faedah tinggi di AS yang berpanjangan," katanya.
Sehubungan itu, AMRO menekankan kepentingan kerjasama serantau yang lebih erat dalam menghadapi ketidaktentuan global.
“Dalam landskap dunia yang semakin berpecah, integrasi serantau yang lebih kukuh amat penting. Hubungan ekonomi serantau perlu diperkukuhkan, kekal terbuka kepada perdagangan global dan terus menyokong sistem multilateralisme berasaskan peraturan supaya rantau ASEAN+3 dapat mempertingkat daya tahan terhadap kejutan luar serta mewujudkan peluang pertumbuhan baharu," katanya.- DagangNews.com








