KUALA LUMPUR 6 Jan – AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) melupuskan tiga aset industri di i-Park @ SILC, Johor pada harga keseluruhan RM14.5 juta kepada penyewa sedia ada.
Dalam satu kenyataan, AME REIT berkata urus niaga tersebut dijangka menjana keuntungan pelupusan sebanyak RM4.5 juta, tidak termasuk kos sampingan anggaran bersamaan kenaikan 44.7% berbanding kos pelaburan asal.
Pelupusan berkenaan dijangka diselesaikan secara berperingkat menjelang Jun.
Ketua Pegawai Eksekutif AME REIT, Chan Wai Leo berkata, pelupusan tersebut sejajar dengan disiplin modal kumpulan, yang menumpukan kepada pengewangan aset matang berskala kecil pada penilaian menarik.
“Modal yang diperoleh akan digunakan semula ke dalam aset berskala lebih besar dan boleh dikembangkan, dengan potensi pertumbuhan jangka panjang yang lebih kukuh,” katanya.
Aset yang dilupuskan masing-masing terletak di i-Park SILC 3, i-Park SILC 4 dan i-Park SILC 6, terdiri daripada kilang separa berkembar setinggi 1.5 tingkat dengan pajakan sedia ada, melibatkan keluasan boleh sewa terkumpul sebanyak 37,104 kaki persegi.
Harga pelupusan itu mewakili premium antara 18.5% hingga 24.8% berbanding nilai pasaran seperti yang ditaksir oleh penilai bebas. Identiti pembeli tidak didedahkan.
i-Park @ SILC merupakan kawasan perindustrian seluas hampir lima hektar di Iskandar Puteri, yang memberi tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurut Chan, premium yang dicapai mencerminkan permintaan industri yang kekal kukuh serta kenaikan nilai modal dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura.
“Urus niaga ini membolehkan syarikat membuka nilai aset sambil mengekalkan kestabilan pendapatan, kecekapan portfolio dan fleksibiliti kunci kira-kira,” katanya.
Sementara itu, AME REIT juga sedang dalam proses memperoleh i-Park SAC 34, yang dijangka dimuktamadkan pada suku pertama tahun ini.
Selepas semua urus niaga berkenaan diselesaikan, AME REIT akan memiliki 38 hartanah industri dan tiga asrama pekerja berkaitan industri, dengan jumlah keluasan boleh sewa dipersetujui sebanyak 2.5 juta kaki persegi berharga keseluruhan RM913.2 juta. - DagangNews.com








