KUALA LUMPUR 14 April - Syarikat tersenarai di Bursa Saham New York, Amcor Plc, telah menyiapkan pembinaan kilang salutan pembungkusan penjagaan kesihatan berteknologi tinggi di Selangor, yang pertama seumpamanya di Asia.
Kilang itu merupakan yang pertama di rantau ini menggunakan teknologi air knife coating, iaitu teknologi salutan canggih yang meningkatkan pengeluaran bungkusan steril berkualiti tinggi khusus untuk sektor penjagaan kesihatan di seluruh Asia.
Pembukaan kemudahan tersebut juga menandakan pengembangan operasi Amcor di Selangor, menjadikannya tapak pertama di Asia yang menghasilkan kedua-dua lapisan atas dan bawah bagi pembungkusan peranti perubatan di satu lokasi.
Presiden Amcor, Chris Kenneally berkata, kilang berkenaan akan mengukuhkan rantaian bekalan syarikat serta membantu mengurangkan masa penghantaran kepada pelanggan di seluruh rantau Asia Pasifik.
"Dengan memperkenalkan teknologi salutan terkini dan meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan, kami lebih bersedia memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk bungkusan steril yang boleh dipercayai.
"Ini turut memberi fleksibiliti dan jaminan bekalan yang lebih baik kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, Selangor dipilih kerana kedudukan strategik, kemudahan yang kukuh, dasar perniagaan yang mesra pelabur serta komitmen Malaysia dalam memajukan sektor industri dan penjagaan kesihatan.
Naib Presiden Penjagaan Kesihatan Global Amcor, Virginie Maes pula berkata, pengeluaran produk global Amcor secara tempatan akan membantu memperkukuh keselamatan bekalan serta memberikan lebih fleksibiliti kepada pelanggan mereka di rantau ini. - DagangNews.com








