Ambest Group meterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities bagi IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ambest Group meterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities bagi IPO di Pasaran ACE

Dari kiri ke kanan: Pengarah Eksekutif Ambest Group Berhad, Lim Eng Guan; Pengarah Urusan Ambest Group Berhad, Tan Beng Beng; Pengarah Urusan Malacca Securities Sdn Bhd, Lim Chia Wei; serta Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Korporat Malacca Securities Sdn Bhd, Tan Kok Tiam
Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 11 Dis – Ambest Group Berhad menandatangani perjanjian taja  jamin dengan Malacca Securities Sdn Bhd bagi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat tersebut di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Menurut kumpulan berkenaan, IPO itu merangkumi terbitan awam sebanyak 110,000,000 saham baharu dan tawaran untuk jualan kira-kira 40,953,000 saham sedia ada.

 

Di bawah perjanjian itu, Malacca Securities menaja jamin sejumlah 38,250,000 saham terbitan merangkumi 25,500,000 saham bagi permohonan oleh orang awam Malaysia serta 12,750,000 saham diperuntukkan kepada pihak yang layak.

 

Ambest berkata kumpulan itu memberi tumpuan kepada pelanggan semikonduktor yang memerlukan kejuruteraan berketepatan tinggi, dengan pengkhususan dalam pemesinan komponen tersuai yang menuntut ketepatan toleransi yang rapat. 

 

Kapasiti pemesinan merangkumi kerja-kerja milling, turning dan turn-milling.

 

Kumpulan itu turut memaklumkan Ambest berkhidmat untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, dengan 83.88% hasil FY2024 diperoleh dari Malaysia, manakala selebihnya dieksport ke Singapura, Sri Lanka, Amerika Syarikat, Thailand dan Switzerland.

 

Sebahagian hasil IPO akan digunakan bagi pembiayaan semula pinjaman, manakala selebihnya akan diperuntukkan untuk pembelian mesin baharu termasuk mesin CNC 5-paksi bagi kerja pemotongan pelbagai arah secara serentak serta mesin CNC mendatar untuk pemesinan berketepatan tinggi komponen yang lebih besar atau kompleks.

 

“Sepanjang lebih sedekad pengalaman dalam industri semikonduktor, kami telah membina reputasi kukuh sebagai penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan yang dipercayai,” kata Pengarah Urusan Ambest Group Berhad, Tan Beng Beng, dalam kenyataan hari ini.

 

Malacca Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, pengunderait dan ejen penempatan bagi urusan IPO ini, manakala WYNCORP Advisory merupakan Penasihat Kewangan Korporat.

 

Menurut Ambest, penyenaraian dijangka berlangsung pada suku pertama 2026, tertakluk kepada keadaan semasa dan kelulusan berkaitan. - DagangNews.com