Ambank luluskan pembiayaan RM70 juta bagi projek loji solar Fabulous Sunview di Kedah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ambank luluskan pembiayaan RM70 juta bagi projek loji solar Fabulous Sunview di Kedah

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 28 Mei –  AmBank Group meluluskan kemudahan pembiayaan RM70 juta kepada Fabulous Sunview Sdn Bhd (FSSB), anak syarikat milik penuh Sunview Group Bhd bagi membiayai pembinaan loji tenaga solar fotovoltaik (PV) iaitu pemasangan atas tanah berkapasiti 29.99MWac di Sungai Petani, Kedah.

 

Projek itu diberikan kepada FSSB oleh Dayasinar Energy Sdn Bhd di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).

 

Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan AmBank Group, Christopher Yap berkata, mereka berbesar hati menyokong FSSB dan Sunview Group dalam inisiatif ini. 

 

"Ke hadapan, kami komited memperkukuh sumbangan kepada ekosistem tenaga boleh diperbaharui Malaysia dengan meneroka peluang pembiayaan dalam program kerajaan akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunview Group, HP Ong berkata, kemudahan pembiayaan tersebut memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan projek solar di bawah skim CGPP. 

 

"Dengan sokongan tersebut, kami dapat terus menyumbang kepada peralihan tenaga Malaysia ke arah masa depan lebih hijau dan lestari," katanya.

 

Nilai kontrak projek berjumlah RM98.29 juta dan dilaksanakan sepenuhnya oleh FSSB termasuk reka bentuk, perolehan, pemasangan, sambungan, pentauliahan, ujian serta pembekalan peralatan untuk fasiliti penjanaan tenaga solar fotovoltaik (PV) atas tanah.- DagangNews.com