KUALA LUMPUR 30 Mei – Amanahraya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) membeli hartanah industri seluas 132,700 kaki persegi di Telok Panglima Garang, Selangor pada harga RM39 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pacific Trustees Bhd mewakili AmanahRaya REIT menandatangani perjanjian dengan Alpha Express Sdn Bhd untuk membeli aset tersebut.
Harga belian itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding nilaian pasaran semasa hartanah iaitu RM40 juta setakat 2 Mei 2025.
Syarikat itu berkata, cadangan pengambilalihan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan boleh agih AmanahRaya REIT serta menambah kepada portfolio hartanah yang bakal memberi manfaat jangka panjang kepada dana.
Bangunan itu akan disewakan semula kepada Alpha Express menerusi pajakan bersih tiga kali ganda selama 10 tahun pada kadar RM195,000 sebulan, tertakluk kepada semakan kadar sewa bagi setiap pembaharuan.
Hartanah itu terletak berhampiran Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE), sekali gus menawarkan akses strategik kepada penyewa.
AmanahRaya REIT dimiliki 45.6% oleh Amanah Raya Bhd, syarikat pemegang amanah milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Pembelian tersebut akan dibiayai menerusi pinjaman bank dan dijangka dimuktamadkan menjelang suku keempat 2025.
Setakat akhir Mac 2025, syarikat mencatatkan baki tunai RM24.63 juta dan jumlah pinjaman RM571.88 juta.- DagangNews.com








