KUALA LUMPUR 5 Mei - Alpha IVF Group Berhad, membuka klinik satelit pertama di Jakarta, Indonesia sebagai sebahagian usaha meningkatkan akses rawatan kesuburan di pasaran ASEAN.
Klinik Alpha Women’s Specialists di Pantai Indah Kapuk (PIK), Jakarta Utara menyediakan rawatan kesuburan, obstetrik, dan ginekologi, penilaian hormone, serta rawatan Sindrom Ovari Polisistik dan endometriosis.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Dr Lee Soon Soo, pembukaan klinik Alpha IVF di Indonesia akan memudahkan perjalanan rawatan pesakit sambil mengekalkan tahap kualiti klinikal yang tinggi seperti di pusat utama mereka.
"Indonesia merupakan antara pasaran IVF yang berkembang pesat di rantau ini.
"Klinik ini menunjukkan komitmen kami untuk menyediakan rawatan beretika, telus, dan berkesan kepada lebih ramai keluarga yang mencari harapan melalui sains," katanya dalam satu kenyataan.
Klinik baharu itu dijangka memberi kesan yang positif kepada prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026 (FY2026), walaupun tiada unjuran angka khusus dikongsi buat masa ini.
Langkah itu juga selaras dengan strategi kumpulan untuk memperluas akses rawatan kesuburan di kawasan berpermintaan tinggi tetapi kurang mendapat perkhidmatan, sejajar dengan reputasi Alpha IVF sebagai peneraju dalam penjagaan kesuburan serantau.
Sepanjang FY2024, pesakit dari Indonesia menyumbang sebanyak RM57.4 juta, atau 42.38% daripada hasil operasi di Malaysia, yang menunjukkan kepercayaan tinggi terhadap kepakaran klinikal Alpha IVF Group.- DagangNews.com








