KUALA LUMPUR 15 Ogos – Alibaba Cloud, cabang teknologi digital dan kecerdasan buatan Kumpulan Alibaba, telah dilantik sebagai salah satu penyedia perkhidmatan awan (CSP) rasmi bagi Perkhidmatan Multiawan Awan Selangor (SMC) yang dilancarkan baru-baru ini.
SMC adalah inisiatif strategik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) melalui Smartsel Sdn Bhd bertujuan mempercepatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan memacu transformasi digital negeri di bawah aspirasi Smart Selangor.
Kerjasama Alibaba Cloud bersama rakan tempatan VSTECS Bhd akan membolehkan agensi kerajaan dan entiti berkaitan negeri mengakses penyelesaian pelbagai awan yang selamat, berskala dan bersepadu.
Pengurus Besar Alibaba Cloud Malaysia, Kun Huang berkata, kerjasama itu membuktikan komitmen syarikat untuk membina ekonomi digital yang inklusif.
“Dengan menggabungkan teknologi canggih Alibaba Cloud dan agenda digital negeri yang progresif, kami mahu memastikan inovasi digital dapat diakses oleh semua peringkat daripada agensi awam hingga pelajar dan usahawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, Alibaba Cloud memperkenalkan kit alatan AI yang menyediakan satu juta token percuma untuk model bahasa besar (LLM) terpilih, akses kategori percuma dan kredit promosi untuk perkhidmatan pengkomputeran dan storan, selain alat sumber pembelajaran AI termasuk latihan percuma untuk pengguna bukan teknikal.
Turut diperkenalkan ialah program pembelajaran dalam talian Celik AI Selangor yang menawarkan lapan kursus asas AI dan pengkomputeran awan, pensijilan Alibaba Cloud serta akses percuma kepada kakitangan kerajaan, pendidik dan pelajar di Selangor. - DagangNews.com








