KUALA LUMPUR 22 Dis – Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) melantik lima tokoh usahawan sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) baharu, sebagai langkah strategik bagi memperkukuh agenda ekonomi Islam di peringkat nasional dan global.
Presiden DPIM, Datuk Mohammad Sahar Mat Din berkata pelantikan berkenaan dibuat bagi menyuntik kepakaran segar daripada pelbagai sektor industri sejajar keperluan ekonomi ummah yang semakin dinamik.
“DPIM memerlukan barisan kepimpinan yang bukan sahaja berpengalaman, tetapi juga berfikiran progresif dan berpandangan global. Pelantikan ini diyakini mampu memperkukuh peranan DPIM sebagai pemacu ekonomi Islam yang lebih kompetitif dan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kelima-lima AMT baharu itu membawa latar belakang kukuh dalam bidang keusahawanan, teknologi, kesihatan, pendidikan serta penjenamaan, yang selari dengan keperluan semasa komuniti perniagaan Islam.
Mendahului senarai pelantikan ialah Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings Sdn Bhd, Mohd Hafizuddin Hiew Abdullah, 38, yang berpengalaman dalam sektor pemasaran rangkaian serta pembangunan keusahawanan.
Beliau juga merupakan penerima Anugerah Tokoh Usahawan Muallaf Kebangsaan 2023 oleh JAKIM Malaysia.

DPIM turut melantik Pengarah Urusan Bubbles O2 Group of Companies, Ain Azizah Arifin, 27, yang berjaya membangunkan jenama air mineral oksigen semula jadi tempatan sehingga meraih pengiktirafan BrandLaureate Entrepreneur of the Year 2024 dan Superbrands Malaysia 2025.
Sektor kesihatan pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ehsan Renal Care Sdn Bhd, Dr Hazimi Hamzah, 41, yang berpengalaman dalam strategi korporat dan inovasi perkhidmatan kesihatan, selain membawa syarikatnya meraih pelbagai pengiktirafan peringkat ASEAN.
Turut dilantik ialah Ketua Pegawai Eksekutif CIC Group of Companies dan pengasas Abedeen Academy, Ali Haidar Azizi, 28, yang memainkan peranan penting dalam pemodenan rangkaian prasekolah serta pembangunan pendidikan holistik berteraskan nilai Islam.
Melengkapkan barisan AMT baharu ialah Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group Sdn Bhd, Adam Richman, 34, seorang pakar strategi perniagaan dan penjenamaan yang aktif membantu PKS serta agensi kerajaan melalui pendekatan pemasaran kreatif.
Menurut Mohammad Sahar, pelantikan yang berkuat kuasa serta-merta itu diharap dapat memperkukuh hala tuju DPIM dalam memacu pertumbuhan ekonomi ummah yang lebih berdaya saing dan mampan bagi penggal akan datang.
“Dengan gabungan kepakaran dan pengalaman ini, DPIM yakin dapat memainkan peranan lebih berkesan sebagai suara dan pemangkin kepada pembangunan ekonomi Islam di Malaysia dan peringkat antarabangsa,” katanya. - DagangNews.com








