KUALA LUMPUR 2 Sept - Alam Maritim Resources Berhad menerusi Alam Maritim (M) Sdn Bhd melengkapkan penjualan kapal Setia Teguh berharga RM7.5 juta kepada syarikat yang diperbadankan di India, Shivansh Offshore and Marine Services Pvt Ltd pada 30 Ogos 2025.
Kumpulan itu berkata, pertimbangan pelupusan itu dicapai berdasarkan asas “pembeli rela, penjual rela” selepas mengambil kira keadaan pasaran semasa serta penilaian ke atas kapal tersebut.
Kapal tersebut diperoleh pada tahun 2008 dengan kos asal sebanyak RM23.1 juta, manakala nilai buku bersihnya pada tarikh penjualan ialah RM5.1 juta dan kali terakhir ia dinilai pada RM3 juta oleh Armal Marine and Offshore Sdn Bhd, seorang penilai kapal bebas, pada Julai 2025.
"Pelupusan kapal ini selaras dengan pelan rasionalisasi perniagaan Alam Maritim bagi mengurangkan segmen kapal sokongan luar pesisir (OSV) bagi memberi tumpuan kepada segmen perkhidmatan bawah laut," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Penjualan itu dijangka menghasilkan keuntungan kira-kira RM2.5 juta, yang akan menyumbang secara positif kepada pendapatan, aset bersih dan kedudukan penggearan kumpulan.
Ia bagaimanapun itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham atau pegangan saham pemegang saham besar dalam syarikat.
Hasil daripada penjualan kapal itu akan digunakan untuk memenuhi keperluan perbelanjaan operasi Alam Maritim dan anak-anak syarikatnya.- DagangNews.com








