Alam Flora perkenal mesin vakum elektrik pintar bersihkan jalan bandar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alam Flora perkenal mesin vakum elektrik pintar bersihkan jalan bandar

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Alam Flora Sdn Bhd, anak syarikat Malakoff Corporation Bhd, memperkenalkan sebuah mesin vakum pembersih jalan 100% elektrik yang pertama seumpamanya untuk digunakan secara aktif di kawasan tumpuan bandar di bawah seliaannya.

 

Mesin pembersih pintar itu berfungsi menggunakan kuasa bateri boleh dicas semula yang mampu bertahan sehingga 16 jam, serta beroperasi dengan tahap bunyi rendah (bawah 60 desibel), menjadikannya sesuai untuk kawasan kediaman yang padat seperti Jalan Alor, Masjid India dan Dataran Merdeka.

 

Ketua Pegawai Operasi Alam Flora, Mohamad Muhazni Mukhtar berkata, ia dilengkapi sistem sedutan berkuasa tinggi dan kapasiti tong sisa 240 liter, penapis habuk ISO5011 yang mampu menapis 99.96% zarah halus, lampu keselamatan LED, penggera undur, kawalan joystick ergonomik dan chasis 20 sentimeter dari tanah untuk kestabilan di laluan bertingkat.

 

"Penggunaan teknologi hijau seperti mesin Glutton ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi pembersihan di kawasan bandar, tetapi juga mencerminkan komitmen Alam Flora terhadap pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.

 

"Inisiatif ini juga antara pencapaian berimpak tinggi sempena ulang tahun ke-50 Malakoff, memperkukuh komitmen kumpulan dalam menyokong kemajuan kelestarian, operasi moden dan pembangunan komuniti secara bersepadu," katanya.

 

Pelancaran mesin 'Glutton Electric Vacuum Litter Picker” itu disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Hee Loy Sia di Jalan Alor, Bukit Bintang, baru-baru ini.

 

t

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif itu adalah antara usaha Alam Flora menyokong Pelan Induk Ekonomi Kitaran 2025–2035 oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah teras infrastruktur hijau dan integrasi teknologi.

 

Tambahnya, ia juga sebahagian daripada tonggak utama aspirasi penyelesaian alam sekitar Malakoff, iaitu menyediakan solusi lestari untuk masyarakat dan planet.

 

"Mesin tersebut turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB Nombor 11 iaitu menjadikan bandar lebih inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan.

 

"Ia sejajar dengan matlamat jangka panjang Malakoff untuk pelepasan sifar karbon, peningkatan kebersihan ruang awam dan produktiviti kerja lapangan yang lebih efisien," katanya.

 

Mesin itu dilengkapi pengecas pintar, panel servis mesra pengguna dan meter tenaga masa yang menyumbang kepada operasi yang cekap dan penjimatan kos.- DagangNews.com