Al-Salam REIT laksana program Sukuk Wakalah Kanan bernilai sehingga RM3 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Al-Salam REIT laksana program Sukuk Wakalah Kanan bernilai sehingga RM3 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Sept - Al-Salam Real Estate Investment Trust (Al-Salam REIT) bercadang menerbitkan program terbitan nota Islam jangka sederhana kanan (Sukuk Wakalah Kanan) pada nilai nominal sehingga RM3 bilion dan/atau nota Islam subordinat tanpa tempoh matang berasaskan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

 

Sebuah kenderaan tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Al-Salam REIT melalui AmanahRaya Trustees Berhad (sebagai pemegang amanah Al-Salam REIT) telah menyerahkan Program Sukuk Wakalah kepada Suruhanjaya Sekuriti pada pada 29 Ogos 2025.

 

Program Sukuk Wakalah itu akan mempunyai tempoh berterusan (perpetual tenure). Terbitan Sukuk Wakalah dari semasa ke semasa boleh diberi penarafan atau tidak diberi penarafan, yang akan ditentukan sebelum setiap terbitan.

 

Ia juga membenarkan penerbitan Sukuk Wakalah dalam format kelestarian dan/atau dikaitkan dengan kelestarian, bagi mematuhi garis panduan, rangka kerja atau piawaian yang berkaitan serta rangka kerja yang akan ditetapkan oleh Al-Salam REIT.

 

"Hasil yang diperoleh daripada penerbitan di bawah Program Sukuk Wakalah akan digunakan untuk membiayai aktiviti pelaburan Al-Salam REIT, membiayai semula pembiayaan Islam sedia ada selain membiayai modal kerja serta keperluan korporat am.

 

"Ia juga akan digunakan bagi membiayai semula Sukuk Wakalah matang, membiayai deposit yang diperlukan dalam akaun bayaran balik pemegang amanah sukuk serta menampung semua perbelanjaan berkaitan yang ditanggung di bawah program itu," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Maybank Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama dan pengatur utama bagi Program Sukuk Wakalah ini manakala Maybank Islamic Berhad pula merupakan penasihat syariah.- DagangNews.com