KUALA LUMPUR 23 Julai - Syarikat bakeri SDS Group Bhd dijangka mencatatkan peningkatan hasil didorong aktiviti rentas sempadan di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Public Investment Bank (PublicInvest).
Katanya, pertumbuhan hasil kumpulan akan disokong sifat defensif barangan keperluan pengguna dan permintaan berterusan terhadap produk roti.
Firma penyelidikan itu berkata, SDS telah mengembangkan jejak operasinya di seluruh Semenanjung Malaysia dan Singapura.
"Ketika ini, kumpulan itu mengendalikan 42 cawangan runcit di bawah jenama SDS manakala bahagian borongnya, yang dipasarkan di bawah jenama Top Baker dan Daily's, menyasarkan pasaran lebih besar dan disokong rangkaian logistik dalaman yang memastikan capaian pengedaran yang meluas di seluruh Semenanjung Malaysia dan Singapura.
"Singapura menyumbang kira-kira 6% kepada hasil kumpulan, mencerminkan strategi pengembangan serantau yang masih di peringkat awal," katanya dalam satu nota kajian.
PublicInvest berkata, walaupun operasi SDS terjejas semasa pandemik COVID-19 pada FY20, namun pihak pengurusan mengambil peluang daripada gangguan tersebut untuk mengenal pasti inisiatif bagi menambah baik proses pengeluaran dan meningkatkan kecekapan operasi.
Hasilnya, usaha-usaha itu telah menyumbang kepada pemulihan pendapatan yang kukuh.
Firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan pendapatan SDS akan terus didorong pembukaan berterusan cawangan runcit baharu dan penembusan pengedaran yang lebih meluas di seluruh Semenanjung Malaysia.
"Kami mengunjurkan untung bersih sebanyak 11% bagi tempoh FY26 hingga FY28, disokong permintaan berdaya tahan terhadap barangan keperluan pengguna, yang dijangka mengekalkan pertumbuhan hasil dalam kedua-dua segmen runcit dan borong.
"Kami memulakan liputan dengan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) sebanyak 88 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com








