Aktiviti korporat perlahan, Kenanga ramal prestasi kewangan CTOS pada 1QFY25 lemah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aktiviti korporat perlahan, Kenanga ramal prestasi kewangan CTOS pada 1QFY25 lemah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 April - CTOS Digital Bhd diramal mencatatkan prestasi suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25) yang lebih lemah disebabkan aktiviti korporat dan pengguna yang lebih perlahan, kata Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun menjangkakan pendapatan syarikat akan pulih apabila momentum perniagaan meningkat semula mulai 2QFY25.

 

Katanya, keputusan syarikat itu berkemungkinan terjejas akibat beberapa faktor bermusim seperti Tahun Baru Cina, cuti sekolah, dan bulan puasa, yang memperlahankan aktiviti korporat serta pengguna.

 

“Namun begitu, pihak pengurusan mengekalkan panduan bagi keseluruhan tahun ini, yang membayangkan pemulihan momentum perniagaan mulai 2QFY25,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Kenanga Research melihat tahun ini sebagai tempoh pertumbuhan bagi CTOS, disokong permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kewangan digital, peningkatan penyertaan kredit, dan permintaan institusi terhadap analitik risiko.

 

Katanya, hala tuju strategik CTOS yang memfokus kepada peningkatan purata hasil per pengguna melalui penawaran berkuasa kecerdasan buatan (AI) dan inisiatif jualan silang masih belum dihargai sepenuhnya pasaran.

 

“Sekiranya terdapat sebarang kelemahan dalam pendapatan 1QFY25, ia seharusnya dianggap sebagai peluang pembelian taktikal,” katanya.

 

Dari sudut makro, Kenanga Research berkata, prospek dalam pasaran utama CTOS kekal berdaya tahan, dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan aktiviti perniagaan berada dalam jajaran pengembangan.

 

CTOS beroperasi terutamanya di Malaysia, tetapi telah mengembangkan kehadirannya ke Thailand dan Filipina, dan baru-baru ini ke Indonesia melalui pengambilalihan.

 

“Permintaan struktur terhadap kredit terus meningkat, disokong kemasukan kewangan digital dan penggunaan domestik yang berdaya tahan, yang merupakan pemacu utama kepada KDNK setiap negara.

 

“Amerika Syarikat (AS) bukanlah rakan dagang utama bagi negara-negara tempat CTOS beroperasi, menjadikan sebarang ‘risiko Trump’ kurang relevan dalam naratif ini," katanya.

 

Namun begitu, firma peyelidikan itu turut memberi amaran terhadap potensi risiko daripada ketidaktentuan dasar yang kembali muncul di (AS).

 

“Presiden Donald Trump telah mencetuskan semula ketidaktentuan dasar, menambah ketidakpastian pasaran dan kebimbangan pelabur. 

 

"Kami telah mengurangkan unjuran KDNK Malaysia bagi tahun ini kepada 4.4% (daripada 4.7%) disebabkan gangguan ini, tetapi pengurangan ini terlalu kecil untuk menjejaskan trajektori CTOS,” katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan “beli” ke atas CTOS dengan harga sasaran (TP) RM1.33 sesaham.- DagangNews.com