KUALA LUMPUR 16 April - Polis membekukan akaun bank berjumlah RM10.67 juta milik Mayu Global Group Bhd dan beberapa anak syarikatnya bagi membantu siasatan di bawah undang-undang pengubahan wang haram.
Pengilang yang berpusat di Pulau Pinang itu memaklumkan, arahan pembekuan tersebut telah diserahkan kepada syarikat bersama tujuh anak syarikatnya pada Khamis lalu.
"Arahan pembekuan ini sah selama 90 hari dari tarikh ia dikeluarkan," menurut syarikat dalam makluman di Bursa Malaysia.
Jelasnya, selain akaun yang dibekukan, pihak berkuasa turut merampas dua kenderaan mewah milik anak syarikat Mayu Global iaitu sebuah Mercedes-Benz GLE 450 Coupe milik SMPC Industries Sdn Bhd dan sebuah BMW 330Li milik Progerex Sdn Bhd.
Mayu Global turut memaklumkan, Pengarah Eksekutifnya, Tan Kim Hee, yang ditahan polis pada 2 April 2025, telah dibebaskan pada 7 April lalu.
"Beliau sebelum ini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
"Setakat ini, tiada pertuduhan dikenakan terhadap beliau," tambahnya.
Syarikat itu berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan kes dan akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting. - DagangNews.com








