KUALA LUMPUR 5 Ogos – Aizo Group Berhad yang dahulunya dikenali sebagai Minetech Resources Berhad, mengorak langkah strategik kembali ke sektor pembangunan hartanah menerusi usaha sama dengan Lestari Astana Sdn Bhd (LASB).
Kerjasama itu melibatkan penubuhan syarikat usaha sama baharu, Aizo Astana Sdn Bhd dengan AIZO memegang 51% pegangan majoriti.
Struktur strategik itu membolehkan AIZO mengurus dan mengawal sepenuhnya rantaian nilai pembangunan projek daripada perancangan, pemasaran, hingga jualan yang memfokus kepada projek yang lebih pantas dan mampu menjana margin keuntungan lebih tinggi, selari dengan trend dan permintaan pasaran semasa.
Pengarah Eksekutif Aizo, Ahmad Rahizal Ahmad Rasidi berkata, usaha sama itu bukan sekadar kemasukan semula Aizo ke sektor hartanah, sebaliknya mencerminkan penjenamaan semula hala tuju syarikat dalam menyampaikan projek pembangunan yang lebih responsif terhadap keperluan pasaran.
"Kerjasama ini meletakkan kami pada landasan kukuh untuk melaksanakan projek yang berdaya saing, selari dengan keperluan semasa pembeli serta kadar jualan yang pantas," katanya dalam kenyataan.
Sebagai permulaan, LASB kini sedang membangunkan unit mercu di Fasa 1A projek Taman Kelemak di Melaka, yang akan menjadi tapak pelancaran kepada Fasa 1B pembangunan seterusnya di bawah kendalian Aizo Astana.
Dengan pengalaman tempatan yang menyeluruh dan pendekatan reka bentuk yang peka terhadap nilai budaya, LASB memperkukuhkan kerjasama itu melalui keupayaan menyesuaikan pembangunan mengikut keperluan pasaran setempat.
Pada 4 Ogos 2025, harga saham AIZO berada pada paras RM0.075 sesaham dengan modal pasaran sekitar RM147.3 juta.- DagangNews.com








