Airod, Nearthlab jalin dua kerjasama strategik teroka penggunaan teknologi dron dalam operasi MRO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Airod, Nearthlab jalin dua kerjasama strategik teroka penggunaan teknologi dron dalam operasi MRO

Wakil-wakil dari Airod dan Airod Aerospace dan wakil-wakil dari Nearthlab Inc bergambar bersama selepas pemeteraian MoU.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 28 Mei — Airod Sdn Bhd menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Nearthlab Inc dari Korea Selatan bagi memperluas penggunaan teknologi dron berautonomi dalam operasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat.

 

MoU yang dimeterai sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA 2025) itu turut membabitkan anak syarikat Airod, Airod Aerospace Technology Sdn Bhd (AAe), bagi memperluas aplikasi teknologi dron dalam operasi pemeriksaan dan penyelenggaraan pesawat.

 

Kerjasama itu bakal memperkemas jadual penyelenggaraan, mengurangkan risiko terhadap manusia dalam tugasan kritikal, di samping meningkatkan kecekapan dan ketepatan kerja MRO.

 

airod

 

Pengarah Airod dan AAe, Datuk Firhad Uzir Abdul Rahim berkata, penyepaduan teknologi dron Nearthlab akan mengubah pendekatan pemeriksaan pesawat, menyingkatkan tempoh baik pulih, dan memastikan tahap keselamatan tertinggi kepada pelanggan kami.

 

Sementara itu, MoU kedua AAe dan Nearthlab memberi tumpuan kepada pembangunan aplikasi dron untuk penyelenggaraan menggunakan analitik data serta kecerdasan buatan (AI), sejajar dengan komitmen AAe terhadap inovasi aeroangkasa.

 

Menurut Pengarah Nearthlab, Samuel Choi, Kerjasama itu merupakan langkah strategik bagi membawa teknologi dron berautonomi ke dalam operasi MRO bertaraf dunia.

 

Antara teknologi yang akan diteroka termasuk pemeriksaan visual automatik, pengimejan terma, pemodelan 3D serta penciptaan "digital twin" bagi pemantauan pesawat secara menyeluruh.

 

Dalam perkembangan berkaitan, AAe turut memeterai Perjanjian Penyelenggaraan Pesawat bersama Ascend Airways Malaysia (AAM), Myanmar Airways International (MAI) dan Mingalar Aviation Services sempena LIMA 2025.

 

airod

 

Perjanjian itu melantik AAe sebagai penyedia penyelenggaraan asas bagi kumpulan pesawat Boeing B737 milik AAM, yang dijangka melancarkan operasi ACMI (Aircraft, Crew, Maintenance and Insurance) di Malaysia menjelang hujung tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AAM, Germal Singh Khera berkata, pemilihan AAe dibuat berdasarkan kebolehpercayaan dan keupayaan teknikal syarikat dalam menyokong pelan pertumbuhan operasi penerbangan.

 

Kerjasama dengan MAI dan Mingalar Aviation Services pula merangkumi penyelenggaraan berjadual serta perkhidmatan komprehensif bagi tujuh pesawat termasuk Airbus A320 dan ATR72.

 

"Perjanjian ini memperkukuh ekosistem penerbangan serantau dan mencerminkan keupayaan AAe dalam menyediakan perkhidmatan MRO bertaraf dunia di ASEAN," tambah Firhad.

 

Bagaimanapun, kerja penyelenggaraan hanya akan dimulakan selepas kesepakatan harga bagi setiap pesawat dimuktamadkan oleh semua pihak.- DagangNews.com