Aireen Omar berundur daripada Capital A selepas dua dekad bersama syarikat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aireen Omar berundur daripada Capital A selepas dua dekad bersama syarikat

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 12 Dis – Capital A Bhd mengumumkan pengunduran Aireen Omar, sekali gus menandakan berakhirnya perjalanan kerjaya hampir 20 tahun memacu inovasi, pertumbuhan dan transformasi digital dalam perniagaan penerbangan dan teknologi kumpulan itu.

 

Menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini, Aireen yang menyertai AirAsia sebagai Ketua Kewangan Korporat, memainkan peranan penting dalam pembiayaan dan perolehan pesawat, perbendaharaan, hubungan pelabur serta usaha sama strategik yang menyokong peluasan operasi penerbangan AirAsia di seluruh ASEAN.

 

Beliau kemudian dilantik sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, menjadikannya antara wanita pertama di Asia mengetuai sebuah syarikat penerbangan, dan memimpin AirAsia melalui beberapa tahun paling kukuh dari segi prestasi antara 2012 hingga 2017.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes berkata Aireen merupakan pemimpin penting dalam evolusi syarikat menjadi organisasi berteraskan digital.

 

“Aireen telah menjadi peneraju utama dalam memacu inisiatif teknologi dan transformasi merentas kumpulan. Saya mengucapkan terima kasih atas dedikasi dan kerja keras yang tidak berbelah bahagi sepanjang dua dekad bersama kami, dan mendoakan yang terbaik untuk perjalanan beliau seterusnya,” katanya.

 

Menurut Capital A, Aireen pada 2023 dilantik sebagai Presiden Bahagian Pelaburan dan Usaha Niaga, di mana beliau mengetuai pembangunan usaha sama baharu serta pelaburan strategik.

 

Terbaharu, Aireen berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BigPay, menerajui inovasi produk, peluasan serantau dan pertumbuhan berterusan platform kewangan digital itu di ASEAN. - DagangNews.com