Airbus sedia bekerjasama dengan Sarawak lancarkan AirBorneo - Abang Johari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Airbus sedia bekerjasama dengan Sarawak lancarkan AirBorneo - Abang Johari

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg (dua dari kanan) semasa lawatan kerjanya ke ibu pejabat ATR dan Kampus Airbus di Toulouse, Perancis. Gambar/FB Sarawakku
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Mei - Airbus berminat untuk bekerjasama dengan Sarawak dalam penubuhan syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo serta memberikan sokongan dari segi latihan dan pendigitalan operasi.

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu disuarakan syarikat global berkenaan semasa lawatan kerjanya ke ibu pejabat ATR dan Kampus Airbus di Toulouse, Perancis, kelmarin.

 

 

 

"Lawatan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan sektor pengangkutan udara Sarawak dan persediaan ke arah pelancaran AirBorneo," katanya dalam satu hantaran di Facebook Sarawakku.

 

Menurutnya, beliau dan delegasi turut diberi taklimat terperinci berkenaan reka bentuk pesawat, operasi, serta potensi kerjasama teknologi dalam bidang penerbangan.

 

Lawatan turut melibatkan tinjauan ke Pusat Pemasangan Akhir ATR, di mana delegasi berpeluang melihat sendiri proses pembuatan pesawat komersial berprestasi tinggi yang sesuai untuk laluan domestik dan jarak sederhana.

 

Delegasi Sarawak kemudian melawat Kampus Airbus di Blagnac dan menyertai sesi perbincangan bersama Presiden Airbus International, Wouter van Wersch, di bilik pameran pelanggan Airspace Agoahub.

 

Sesi tersebut membuka ruang kepada kerjasama strategik dalam bidang teknologi, latihan dan penyelenggaraan.

 

Abang Johari dan delegasi turut melawat ruang pameran pelanggan Airbus dan menyaksikan operasi akhir pemasangan pesawat A350, yang juga antara pesawat komersial paling canggih di dunia.

 

Lawatan berkenaan dianggap langkah penting untuk memastikan AirBorneo, yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya tahun depan, memenuhi piawaian antarabangsa dan menguatkan rangkaian pengangkutan udara di Sarawak.

 

Perkhidmatan itu dijangka memainkan peranan penting untuk laluan domestik dan serantau di Asia Tenggara seperti Kuala Lumpur, Bangkok, Singapura, Jakarta, Hong Kong dan Jepun.

 

Turut serta dalam lawatan ialah Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta pegawai kanan kerajaan negeri. - DagangNews.com