Airbus kukuhkan peranan sebagai rakan aeroangkasa utama Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Airbus kukuhkan peranan sebagai rakan aeroangkasa utama Malaysia

TUDM A400M menyertai pertunjukan udara di LIMA 2025.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 21 Mei – Airbus Defence dan Space mengukuhkan peranannya sebagai rakan aeroangkasa utama Malaysia menerusi kerjasama pertahanan negara di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA).

 

Malaysia kekal sebagai pasaran ketiga terbesar Airbus di Asia Pasifik, selepas China dan India. 

 

Tonggak utama dalam perkongsian itu ialah program A400M, di mana Malaysia memainkan peranan perintis sebagai pelanggan eksport pertama di dunia.

 

Ketua Asia-Pasifik Airbus Defence dan Space, Zakir Hamid berkata, tahun ini merupakan 10 tahun operasi A400M bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), satu pencapaian penting membuktikan kebolehpercayaan dan kepelbagaian fungsi pesawat itu.

 

"Dengan lebih 13,000 jam penerbangan, TUDM kini menjadi pengendali A400M paling aktif di dunia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Airbus
Ketua Asia Pasifik Airbus Defence dan Space, Zakir Hamid

 

Empat pesawat A400M milik Malaysia digunakan dalam pelbagai misi ketenteraan, pengaman, dan bantuan kemanusiaan termasuk bencana gempa bumi Palu 2018 serta pandemik COVID-19. 

 

Pesawat itu mampu membawa muatan sehingga 37 tan sejauh 2,400 batu nautika, beroperasi dari landasan tidak berturap dan melakukan pemindahan bahan api di udara. 

 

Zakir menyatakan Indonesia dijangka menerima A400M pertamanya pada suku keempat 2025, sekali gus memperkukuh keupayaan angkut strategik dan tindak balas bencana negara itu.

 

Airbus sedang mempertimbangkan penambahan bilangan A400M dalam armada TUDM selari dengan peningkatan kadar operasi dan pengintegrasian pesawat pejuang canggih.

 

airbus

 

Syarikat mengumumkan perjanjian perluasan kontrak sokongan dalam perkhidmatan bagi armada A400M TUDM meliputi penambahan bekalan alat ganti, peningkatan perkhidmatan, dan naik taraf masa depan bagi memastikan kesiapsiagaan operasi sentiasa terjamin.

 

Selain itu, Airbus menawarkan A330 Multi Role Tanker Transport (MRTT) yang sudah beroperasi di rantau Asia Pasifik termasuk Australia, Singapura, dan Korea Selatan. 

 

Syarikat turut meneroka peluang memperkenalkan C295 Maritime Surveillance Aircraft (MSA) bagi meningkatkan kawalan sempadan Malaysia. 

 

Pesawat itu sudah digunakan di Asia Tenggara dan dilengkapi sistem misi canggih serta keupayaan menyokong operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dan rondaan jarak jauh, sesuai untuk menyokong Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

 

Dengan garis pantai sepanjang 4,600 kilometer dan peningkatan insiden lanun serta rompakan bersenjata di Selat Melaka, C295 dijangka memperkukuh keselamatan maritim dan keupayaan respons bencana negara.

 

Zakir berkata, mereka berbangga dapat bekerjasama dengan Malaysia dalam menyokong operasi pertahanan serta keselamatan di seluruh Asia Pasifik.- DagangNews.com