KUALA LUMPUR 10 April – Sebagai usaha merevolusikan ruang udara, gergasi aeroangkasa, Airbus dan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) memeterai perjanjian penyelidikan dan teknologi yang bertujuan memperkasakan rantaian bekalan bahan api penerbangan mampan (SAF) di seluruh rantau Asia-Pasifik.
Kerjasama itu membuka jalan kepada kajian mendalam mengenai inovasi bahan mentah, pengoptimuman proses serta rumusan baharu yang boleh menyokong penerbangan yang lebih hijau dengan misi utama mengurangkan pelepasan karbon dalam penerbangan selain mempercepatkan peralihan ke arah masa depan perjalanan udara yang mampan.
Penyelidikan itu akan memberi tumpuan kepada negara-negara ASEAN dan negara di Asia-Pasifik yang terpilih dengan mengumpul data penting untuk menjejaki trend, dinamik bekalan, serta mengesahkan potensi bahan mentah SAF di bawah rangka kerja global Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation (CORSIA) oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Matlamatnya adalah untuk mengenal pasti bahan generasi baharu yang mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap bahan api penerbangan yang lebih bersih.
"Inisiatif ini menunjukkan komitmen kami terhadap inovasi yang menangani cabaran kritikal dalam pengeluaran SAF.

"Dengan menambah baik rantaian bekalan dan penyelidikan bahan mentah, kami ingin mendorong rantau Asia-Pasifik untuk ke hadapan dalam usaha kelestarian global," kata Pengerusi AMIC, Dr Zakri Abdul Hamid.
Ketua Pegawai Kelestarian Airbus, Julie Kitcher berkata, sebagai peneraju global dalam kelestraian aeroangkasa, pihaknya melihat kerjasama itu sebagai langkah penting untuk membuka potensi rantau ini, sambil menyokong aspirasi Malaysia untuk membangunkan industri SAF tempatan.
"Kami bukan sekadar bercakap tentang cita-cita tetapi kami menjadikannya realiti.
"Perkongsian ini membolehkan kami memacu pertumbuhan ekonomi serantau serta gerakan penerbangan hijau global menerusi penyelidikan dan inovasi bertaraf dunia," katanya.
Dengan pelepasan karbon industri penerbangan menjadi perhatian global, revolusi SAF merupakan kunci utama dalam mengurangkan jejak karbon penerbangan.
Pesawat Airbus kini disahkan untuk terbang dengan campuran SAF sehingga 50%, dengan sasaran berani untuk mencapai keupayaan 100% menjelang 2030.
Perkongsian itu meletakkan Malaysia dan rantau Asia-Pasifik di landasan untuk menjadi hab global dalam inovasi penerbangan mampan. - DagangNews.com








