KUALA LUMPUR 18 Dis – Data terkini Airbnb menunjukkan Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelancong dengan jumlah tempahan penginapan di negara ini meningkat pada separuh pertama 2025.
Kuala Lumpur muncul sebagai bandar paling banyak ditempah, manakala destinasi warisan seperti Pulau Pinang, Melaka dan Kuching turut kekal popular di kalangan pelancong domestik dan antarabangsa.
Seiring dengan pertumbuhan ini, Airbnb bersama Think City melancarkan KL Heritage Guide, sebuah panduan digital yang mengetengahkan kekayaan warisan bandar raya ini serta komuniti kreatifnya, termasuk kawasan warisan KL yang sedang berkembang.
Airbnb dalam satu kenyataan memaklumkan panduan itu selaras dengan aspirasi Malaysia untuk mempromosikan pelancongan berasaskan warisan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ketua Negara Airbnb bagi India dan Asia Tenggara Amanpreet Bajaj berkata kerjasama ini menunjukkan bagaimana sektor awam dan swasta boleh bergandingan untuk memperkasakan komuniti tempatan, menarik pelancong ke destinasi warisan dan menonjolkan Kuala Lumpur sebagai destinasi budaya yang dinamik.
“Inisiatif ini menampilkan Kuala Lumpur sebagai destinasi budaya yang dinamik kepada pelancong global, sambil menyokong usaha pemeliharaan melalui pelancongan bertanggungjawab.
“Perkongsian kediaman yang disediakan melalui platform Airbnb memainkan peranan penting dalam menarik pelbagai segmen pelancong.
“Ia juga menyokong pertumbuhan jangka panjang sektor pelancongan Malaysia dan memastikan manfaat ekonomi dapat dikongsi bersama oleh pelancong serta komuniti tempatan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Think City Datuk Hamdan Abdul Majeed pula berkata panduan ini membolehkan pelancong menyelami tawaran warisan dan budaya Kuala Lumpur, memperkaya pengalaman perjalanan mereka.
“Panduan ini juga menonjolkan rasa bangga warga kota terhadap identiti Kuala Lumpur sebagai ibu kota budaya yang berkembang menjelang TMM 2026,” katanya.
Data Airbnb turut menunjukkan pelancongan domestik terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, dengan Malaysia kekal destinasi pilihan pelancong tempatan.
Pasaran antarabangsa utama ialah Singapura, China, Indonesia, Amerika Syarikat dan Perancis, dengan Perancis mencatat kadar pertumbuhan tertinggi.
Pelancongan solo meningkat, manakala kumpulan melebihi lima orang kekal sebagai pelancong utama, sekali gus menonjolkan peluang bagi penginapan berasaskan komuniti dan penyertaan dalam ekonomi tempatan.
Airbnb menggalakkan pelancong meneroka KL Heritage Guide untuk mengetahui lebih lanjut mengenai warisan dan budaya ibu kota. - DagangNews.com








