KUALA LUMPUR 3 Jun - Pihak berkuasa Filipina mengarahkan platform digital AirAsia, AirAsia Move, menghentikan penjualan tiket penerbangan di negara itu susulan dakwaan harga tambang yang mahal melampau dan melanggar undang-undang.
Menteri Pengangkutan Filipina, Vince Dizon berkata, Lembaga Aeronautik Awam (CAB) telah mengeluarkan arahan menghentikan penjualan serta-merta dan meminta polis menyekat akses ke laman web AirAsia Move.
Menurut Dizon, AirAsia Move menaikkan harga tambang secara mendadak susulan gangguan pengangkutan di bandar Tacloban akibat penutupan jambatan utama yang digunakan oleh trak.
"Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap platform dalam talian yang tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan terhadap rakyat," katanya kepada pemberita seperti laporan Bloomberg.
Beliau turut memaklumkan, pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang segera atas sebab 'jenayah ekonomi'.
AirAsia Move, yang dimiliki oleh Capital A Berhad dan rakan digital kepada syarikat penerbangan tambang rendah Philippines AirAsia berkata, perbezaan harga berlaku akibat masalah sementara penyelarasan data dengan rakan harga penerbangan pihak ketiga.
Menurut kenyataan syarikat, ia telah mengambil langkah segera untuk menyelesaikan isu tersebut bersama penyedia harga pihak ketiga.
Sepanjang hujung minggu lalu, AirAsia Move didapati menjual tiket sehala dari Manila ke Tacloban City melalui Philippine Airlines pada harga mencecah RM5,874, tiga kali ganda lebih mahal berbanding harga yang ditawarkan terus di laman web rasmi syarikat penerbangan itu.
"Harga ini tidak masuk akal. Apa yang dilakukan oleh AirAsia Move adalah satu jenayah," ujarnya. - DagangNews.com








