AirAsia X sambung semula laluan Kuala Lumpur–Busan mulai 17 Jun 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia X sambung semula laluan Kuala Lumpur–Busan mulai 17 Jun 2026

Bandaraya Busan
Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 12 Jan – AirAsia X Bhd (AAX) menyambung semula penerbangan terus yang dinantikan ramai penumpangnya, menghubungkan Kuala Lumpur dengan Busan, bandar pesisir pantai terbesar di Korea Selatan.

 

Dalam kenyataan kumpulan tersebut hari ini, AAX memaklumkan penerbangan berjadual itu akan memulakan operasi pada 17 Jun 2026 dengan kekerapan sebanyak empat kali seminggu.

 

Laluan berkenaan merupakan destinasi ke-21 AAX dan yang kedua di Korea Selatan serta dijangka memainkan peranan penting dalam merangsang permintaan baharu dan mengukuhkan kehadiran syarikat penerbangan itu di Asia Timur.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, AAX berbangga dapat mengembalikan laluan berkenaan dan kekal sebagai satu-satunya syarikat penerbangan Malaysia yang mengendalikan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Busan.

 

“Syarikat berbangga untuk mengembalikan laluan yang dinantikan oleh semua orang ini dan menjadi satu-satunya syarikat penerbangan di Malaysia yang mengendalikan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Busan, sebuah bandar yang penuh dengan keunikan,” katanya.

 

Menurutnya, tumpuan AirAsia X adalah untuk menjadikan perjalanan jarak jauh lebih mudah diakses, dengan penyambungan semula laluan itu mencerminkan pendekatan yang lebih berbaloi dalam pengembangan rangkaian penerbangan, di samping membolehkan lebih ramai pengembara menikmati pengalaman dan pengembaraan baharu.

 

“Dengan laluan sedia ada ke Seoul, Busan kini terus mengukuhkan kehadiran kami di Korea Selatan ketika kami terus berkembang di seluruh Asia Utara yang kekal sebagai wilayah pertumbuhan terkuat kami. Kami amat teruja untuk mengalu-alukan kehadiran pengembara dari Busan ke Malaysia dan ianya adalah masa yang tepat sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

 

AAX

 

Bagi meraikan penyambungan semula destinasi popular itu, AAX menawarkan tambang promosi antara Kuala Lumpur dan Busan bermula daripada RM299 termasuk semua sehala bagi kelas ekonomi atau RM999 termasuk semua sehala untuk Premium Flatbed, bermula hari ini sehingga 18 Januari 2026, bagi tempoh perjalanan antara 17 Jun hingga 30 November 2026.

 

Busan, bandar kedua terbesar di Korea Selatan selepas Seoul, merupakan destinasi pesisir pantai yang meriah dan terkenal dengan pantai yang bersih, pergunungan yang indah serta warisan budaya yang kaya. 

 

Daripada Pasar Ikan Jagalchi yang terkenal dan perkampungan berwarna-warni di lereng bukit, hinggalah kepada kepelbagaian juadah makanan serta Busan International Film Festival yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, bandar itu menawarkan pelbagai pengalaman untuk setiap pengembara. - DagangNews.com